Tinjauan Astro AWANI di kawasan Plaza Rakyat mendapati kawasan terbengkalai itu sudah dipagar kawasan sekelilingnya dengan zink-zink besi oleh pemaju kawasan tersebut bagi mengelakkan sebarang pencerobohan oleh pihak dan orang-orang yang tidak bertanggungjawab.
Namun, begitu, tinjauan dari parkir kenderaan di bangunan Pusat Transformasi Rakyat (UTC) dan Pudu Sentral yang terletak bersebelahan kawasan tersebut mendapati terdapat beberapa takungan air yang kini bagaikan sudah menjadi sebuah kolam renang dalam kawasan tersebut.
Takungan air ini ditambah juga dengan sampah-sarap yang terapung-apung dalam takungan air tersebut akan membiakkan lagi jentik-jentik yang mana ianya akan menjadi sebagai satu tempat yang boleh dikatakan sebagai ‘Pusat Penternakan Nyamuk’ terbesar di Kuala Lumpur.
JOEHARI: Pihak berkuasa jangan suka beri alasan.
Eksekutif bank, Joehari Azmi, 29 menyifatkan bahawa meskipun semua pihak termasuk orang ramai perlu mempunyai kesedaran sivik dalam menjaga kebersihan terutamanya
“Memanglah kita sebagai masyarakat harus menjaga kebersihan dalam usaha kita mencegah dari pembiakan nyamuk aedes, namun pihak berkuasa tempatan janganlah memberi alasan seperti keengganan ‘buka pintu’ oleh penghuni rumah punca kes demam denggi tinggi kerana mereka mempunyai kuasa dalam mendenda atau mengheret pemaju tempat seperti Plaza Rakyat itu ke mahkamah kerana kegagalan menjaga kebersihan,” katanya.
NAZIRWAN: Plaza Rakyat kini jadi koloni nyamuk yang akan sebarkan wabak demam denggi.
Rakannya, Nazirwan Nazlly, 30 pula berkata masalah di Plaza Rakyat ini sebenarnya sudah lama berlaku dan ramai yang tidak sedar akan masalah yang nampak kecil tetapi sebenarnya ianya kini bakal menjadi ancaman kepada ribuan warga kota jika tiada langkah-langkah pencegahan dilakukan.
“Kita lihat ianya hanyalah sebagai satu projek terbengkalai tetapi dalam kawasan projek itu sebenarnya terdapat masalah yang kita tidak sedar selama ini dan boleh saya katakan tidak mustahil bahawa takungan-takungan air dalam kawasan pembinaan itu kini telah menjadi koloni kepada jutaan jentik-jentik yang bakal menjadi nyamuk dan membinasakan warga Kuala Lumpur dengan demam denggi,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Yip Lai Har, 45, yang bekerja berhampiran kawasan Plaza Rakyat itu berkata kawasan takunganyang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes itu perlu segera dihapuskan kerana ditakuti ianya bakal membawa wabak demam denggi kepada sesiapa yang berada di sekitarnya.
“Jangan hanya memantau sahaja tetapi mereka perlulah juga berbuat sesuatu terhadap kawasan tersebut kerana jika difikirkan demi jangka masa panjangnya, ianya akan membuatkan ramai orang boleh terkena wabak demam denggi ini,” katanya.
Astro AWANI pada Khamis memaparkan projek Plaza Rakyat yang terbengkalai kini bukan hanya menjadi satu pemandangan yang mencacatkan mata bagi wargakota namun ianya kini telah menjadi satu ancaman wabak penyakit demam denggi kerana terdapat banyak kawasan takungan air sebesar kolam renang yang membiakkan jentik-jentik dikawasan itu.
Pada tahun lalu, Syarikat pembinaan, Ivory Properties Group Berhad dilaporkan akan membangunkan semula projek komersial yang terbengkalai itu dengan nilai kasar pembangunan berjumlah RM8 bilion.
Projek itu dilaporkan akan direkabentuk semula untuk menempatkan apartmen servis bagi ekspatriat serta rumah mampu milik bagi golongan muda yang akan diintegrasikan dengan hab pengangkutan dan bisnes.
Pembangunan semula projek itu dijangka memakan masa selama lapan tahun dan dijangka menjadi antara yang terbesar di pusat bandar Kuala Lumpur.
Projek itu asalnya dirancang untuk menempatkan 79 tingkat bangunan pejabat, 45 tingkat apartmen servis, hotel 21 tingkat dan tujuh tingkat pusat membeli belah.
Plaza Rakyat dirancang dibina pada awal 1990-an oleh Wembley Industries Holdings Bhd dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ia dirancang hampir serentak dengan projek Suria KLCC yang menempatkan Menara Berkembar Petronas dengan kos pada masa itu dianggarkan bernilai RM1.4 bilion.