KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memberikan penegasan kepada penyedia-penyedia platform media sosial, untuk melakukan tindakan berdasarkan garis panduan had umur yang ditetapkan.


Ringkasan AI
  • Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menegaskan platform media sosial perlu memastikan pengguna mematuhi garis panduan had umur 13 tahun ke atas; perbincangan akan diadakan jika gagal dipatuhi.
  • Kerajaan sedang meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk membolehkan tindakan tegas terhadap kesalahan pedofilia dan jualan pornografi dalam talian.
  • Pindaan tersebut bertujuan memperketat hukuman terhadap jenayah dalam talian serta memastikan kebebasan bersuara tidak disalah guna.


Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata sekiranya mereka gagal berbuat demikian, satu perbincangan akan dilakukan bagi menentukan langkah terbaik mengenainya.

“Semua platform pada waktu ini (seperti) Facebook, TikTok, Instagram, X, mereka memang dalam ‘community standard’ ataupun ‘community guideline’, masing-masing mengehadkan hanya yang berumur 13 tahun ke atas boleh membuka akaun dalam platform media sosial.

“Jadi penegasan yang kita akan lakukan ialah, melihat bagaimana platform-platform melakukan verifikasi pengesahan umur bagi pengguna-pengguna ini... Kita akan lihat sama ada mereka boleh melaksanakan ataupun tidak. Jika tidak, kita akan lakukan perbincangan selepas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program ‘Jelajah Peduli Ummah’ di sini, hari ini.

Senat Australia pada hujung bulan lepas meluluskan undang-undang yang melarang kanak-kanak serta remaja daripada menggunakan media sosial, menjadikannya negara pertama di dunia mengambil langkah sedemikian dan kerajaan Indonesia juga dilapor sedang menimbang untuk mengikut jejak langkah Australia melaksanakan larangan tersebut.

Sementara itu Fahmi berkata pindaan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) akan membolehkan dua bentuk kesalahan iaitu pedofilia dan jualan pornografi dalam talian sebagai kesalahan yang boleh ditahan.

“Pindaan ini akan membantu memastikan penjenayah yang terlibat dalam penjualan pornografi dan juga pedofil yang menyimpan bahan-bahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak, dapat ditahan dan ditangkap oleh polis.

“... setelah lebih dua tahun kita mengkaji prosesnya, kita membuat keputusan untuk menjadikan beberapa kesalahan lebih berat hukumannya, lebih tegas tindakan yang boleh diambil, manakala bagi aspek kebebasan bersuara lebih terperinci dan tidak mudah untuk disalah guna pada masa depan,” katanya.

-- BERNAMA