Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata selepas perkara itu dimuktamadkan pada penghujung tahun ini, kod tatalaku itu akan diterbitkan dan semua penyedia platform media sosial yang mempunyai lebih daripada lapan juta pengguna di Malaysia diwajibkan berdaftar.
"Tidak ada perbincangan dua hala mengenai perkara ini, jika mereka memenuhi syarat yang ditetapkan, mereka wajib daftar. Kegagalan untuk mendaftar dalam tempoh yang ditetapkan akan membawa akibat yang serius, termasuk kemungkinan dikenakan denda," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Taman Sukma di sini hari ini.
Beliau berkata setakat ini, kebanyakan penyedia platform media sosial memberikan kerjasama yang baik dalam memberikan maklum balas berkenaan kod tatalaku terbabit.
"Hanya ada satu dua platform yang beranggapan mereka lebih besar daripada negara yang berdaulat, namun kita perlu ingatkan mereka, mereka membuat duit di Malaysia, jadi mereka wajib mematuhi undang-undang negara kita," katanya.
Fahmi berkata kod tatalaku itu adalah garis panduan yang perlu dipatuhi oleh penyedia platform media sosial, contohnya mereka perlu responsif terhadap sebarang aduan yang diterima daripada pengguna dan sekiranya gagal berbuat demikian akan dikenakan tindakan.
Beliau pada masa sama berkata semua penyedia platform media sosial perlu menghormati pendirian kerajaan Malaysia dengan tidak menyekat sebarang kandungan pro-Palestin.
"Dari segi sekatan saya lihat seperti ada antara dua darjat, kalau berkenaan dengan Palestin hampir semua dikekang, malah hantaran Perdana Menteri di Instagram pun boleh diturunkan atas sebab beliau hanya mengutuskan takziah atas kematian pemimpin Hamas.
"Jadi kita sebagai negara merdeka, berdaulat dan mempunyai hubungan diplomatik dengan semua negara termasuk Palestin, pendirian kerajaan, Perdana Menteri wajib dihormati oleh platform-platform ini," katanya.
-- BERNAMA