Ada yang gembira, sedih, sayang, takut mahupun marah.
Namun, kajian yang dilakukan sebuah syarikat kajian pasaran, Berkshire Media jelas menunjukkan sifat, perasaan dan kesihatan mental rakyat Malaysia cepat berubah sepanjang PKP.
Kajian selama lima hari sejak PKP diumumkan pada 16 Mac itu dilakukan sehingga 20 Mac, melibatkan 223,897 data media sosial.
Pada hari pertama PKP diumumkan, iaitu pada 16 Mac, tahap kemarahan rakyat Malaysia dilihat tinggi iaitu 48.67 peratus.
Namun ia semakin berkurangan dan merekodkan kadar 16.08 peratus pada hari kelima.
Selain itu, tahap kesedihan dan ketakutan turut mendominasi data itu dengan masing-masing 17.47 peratus dan 16.65 peratus.
Trend sama turut dilihat pada rasa takut iaitu penurunan kepada 8.15 peratus. Namun, rasa sedih meningkat kepada 25.54 peratus.
Tahap kegembiraan pula merekodkan 12.64 peratus manakala tahap rasa sayang hanya 4.27 peratus dan rasa terkejut 0.29 peratus.
Kegembiraan rakyat terus menunjukkan peningkatan dari hari ke hari iaitu kepada 46.5 peratus pada hari kelima.
Rasa sayang dan terkejut juga menunjukkan peningkatan iaitu kepada masing-masing 2.48 peratus dan 1.25 peratus.
Apa yang menarik?
1. Sifat marah dan gusar menunjukkan peningkatan pada hari pertama PKP diumumkan seiring ketidaktentuan dalam perkara berkaitan kerja. Ia termasuk menyiapkan tugasan harian, meneruskan perniagaan dan gangguan rantaian nilai. Sifat marah dan gusar itu turut dipengaruhi oleh laporan kes COVID-19, kesukaran mendapatkan keperluan harian, gangguan bekalan makanan dan ketidaktentuan pekerjaan.
2. Marah dan gusar menunjukkan penurunan secara berperingkat apabila netizen mula menerima dan menyesuaikan diri dengan arahan PKP.
3. Kegembiraan mempengaruhi netizen apabila mereka optimis bahawa langkah-langkah ketat yang diperkenalkan mampu mengurangkan jumlah kes COVID-19.
4. Tatkala netizen sibuk dengan pelbagai aktiviti seperti memasak dan meluangkan masa bersama keluarga, perkongsian kandungan lucu dan kelakar menyumbang kepada kegembiraan dan menurunkan kadar marah dan gusar menjelang hari kelima.
5. Rasa sedih menunjukkan peningkatan susulan laporan kes dan kematian akibat COVID-19 selain bebanan kerja yang ditanggung petugas barisan hadapan.
Analisis
Kajian media sosial ini jelas menunjukkan rasa khuatir, marah dan gusar ketika permulaan PKP telah beralih kepada sifat ‘menerima’.
Penerimaan itu termasuk penglibatan dalam beberapa perkara seperti mencuba hobi yang belum pernah diteroka, meluangkan masa bersama keluarga dan mencari aktiviti rekreasi sama ada dilakukan secara bersendiri atau menerusi jaringan dalam talian.
Bagaimanapun, ia tidak termasuk kebimbangan dan kemurungan yang mungkin makin meningkat apabila PKP bersambung.
Malah, ia tidak termasuk rasa kurang senang yang mendepani rakyat berkenaan ketidaktentuan ekonomi dan ketakutan terhadap sesuatu yang tidak diketahui.
Secara ironinya, tekanan kesihatan mental mungkin mendatangkan lebih keburukan daripada impaj COVID-19 secara fizikal.
Ketakutan kepada sesuatu yang tidak diketahui , kegusaran sekiranya dijangkiti virus atau berjangkit kepada orang tersayang, tekanan bekerja di rumah pada masa sama perlu menguruskan anak-anak yang tidak bersekolah, laporan negatif di media dan banyak lagi bakal mempengarusi kesihatan mental.