Turut dibangkitkan netizen, kurangnya penguatkuasaan oleh kerajaan terhadap dasar baharu atau terdahulu mengenai larangan merokok dalam beberapa bulan dan tahun kebelakangan ini iaitu ketika pandemik COVID-19.
Bagi rungutan terhadap sikap tidak endah perokok di premis makanan, netizen mencadangkan syor meningkatkan penguatkuasaan di lapangan selain menggalakkan orang ramai membuat aduan serta memberikan insentif kepada gerakan komuniti pihak ketiga melalui langkah 'naming and shaming'.
Bagi aduan mengenai kurangnya penguatkuasaan di lapangan, netizen mencadangkan agar lebih ramai anggota penguat kuasa ditempatkan di kawasan tumpuan ramai.
Selain itu, beberapa isu sama dibangkitkan netizen iaitu mengenai sikap ibu bapa yang merokok di hadapan anak-anak, fatwa atau undang-undang yang tidak memainkan peranan terhadap perokok kalangan orang Islam, budaya vaping dalam kalangan remaja di sekolah, sikap yang bertentangan dipamerkan pengamal perubatan terhadap tabiat merokok dan rasuah dalam pasaran gelap penjualan rokok.
Dalam pada itu, merokok dan tembakau berada di kedudukan keempat paling banyak disebut netizen di platform media sosial.
Ekonomi domestik paling banyak disebut dengan 981,380, diikuti Omicron dan Vaksinasi dengan 245,782 serta inflasi dan gaji domestik 80,517 disebut.
Isu merokok dan tembakau berada di hadapan 1MDB (27,927), moratorium (13,710) dan tembakau dan e-rokok (866).
Data pemerhatian sosial itu dilakukan Berkshire selama 30 hari iaitu bermula 16 Januari hingga 15 Februari 2022.
Ia diperoleh melalui paltform media sosial seperti Facebook, Twitter, saluran berita, YouTube, forum dan sebagainya.
Contoh kata kunci yang digunakan untuk mengekstrak data sosial berkenaan termasuk asap rokok, vape parlimen, merokok awam, tobacco ban, tembakau kerajaan, isap vape, rokok, isap rokok, ciggie, tobacco, sapkoklu, jualan rokok, smoking ban, smoking mamak, smokers puff dan bau rokok.
Daripada tempoh sebulan pemerhatian, pada 28 Januari 2022, ramai netizen memuji langkah kerajaan ke arah pengharaman tembakau atau rokok dan menggesa kerajaan meningkatkan penguatkuasaan di premis makanan.
Namun, pada tarikh sama, ramai juga netizen bertanyakan mengenai langkah berkenaan yang mungkin menyebabkan negara kehilangan cukai pendapatan hasil jualan rokok atau vape.