Menerusi kajian dilakukan Berkshire Media melibatkan 1.78 juta sampel data di media sosial menunjukkan, sejumlah 602,553 data membincangkan isu kerja dan pekerjaan.
Selain khuatir akan pendapatan yang terjejas, impak kewangan terutama melibatkan golongan pekerja kelompok B40 dalam industri perkhidmatan dan pembuatan menjadi sebahagian perkara terbesar yang dibincangkan.
“Perbandingan polisi melibatkan pelbagai syarikat, maklum balas pemotongan gaji antara syarikat dalam pelbagai sektor (B2B vs B2C) dan status (syarikat Bumiputera vs MNC).
“Maklum balas kepada kenyataan pakar ekonomi serta awam terhadap keupayaan pakej rangsangan ekonomi dalam memenuhi jurang pendapatan yang dialami oleh mereka yang kehilangan kerja,” memetik laporan itu.
Antara lain termasuk kekeliruan terhadap kelayakan bantuan melibatkan PKS.
Malah, data itu turut menunjukkan tindakan orang awam membidas pengusaha berprofil tinggi yang menyatakan kebimbangan mereka terhadap kelangsungan perniagaan PKS mereka, sekaligus mendatangkan kemarahan dari netizen kerana sifat "ironis" keluhan mereka lantaran gaya hidup golongan ini yang mewah.
Ini merupakan antara senarai lain isu-isu berkaitan kerja dan pekerjaan yang dibincangkan pengguna media sosial di Malaysia:
- Perbincangan untuk mencari kerja sambilan/sementara untuk menambah pendapatan dalam tempoh PKP.
- Aktif berkongsi iklan peluang pekerjaan.
- Perbualan yang sensitif/empati dalam menyokong perniagaan kecil rakyat Malaysia.
- Perbincangan berkenaan kewajaran selebriti meminta dana/bantuan khas untuk diri mereka akibat pekerjaan mereka yang terjejas.
- Aduan berkenaan syarikat yang yang tidak mahu memohon subsidi gaji untuk pekerja sebaliknya pekerja diarah untuk mengambil cuti tanpa gaji.
- Berkongsi perbualan/panggilan video bersama rakan sekerja
- Laporan berkenaan aplikasi mesyuarat dalam talian, Zoom sekaligus mencetus perbualan berkenaan keselamatan internet.
- Syarikat sedang mengalami pra-krisis penurunan perniagaan ekoran kelembapan ekonomi global yang semakin meruncing.
- Terlalu banyak ketidaktentuan dalam industri tertentu, pengangguran akan terus meningkat walaupun wujud pakej rangsangan.
- Aliran tunai syarikat amat meruncing sekaligus mengurangkan ruang pejabat dan infrastruktur seiring polisi baharu yang menjadikan pekerjaan lebih fleksibel.