KUALA LUMPUR: Malaysia akan kekal menjadi rakan kongsi penting dan dihormati oleh United Kingdom (UK) walau apa pun keputusan yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum yang dijadual berlangsung pada Julai depan.


Ringkasan AI
  • Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry, menyatakan keyakinan bahawa Malaysia akan terus menjadi rakan kongsi penting bagi UK walaupun selepas Pilihan Raya Umum UK pada Julai depan.
  • Terry menekankan hubungan kukuh antara kedua-dua negara yang telah bertahan melangkaui masa dan politik, dengan kerjasama dalam bidang teknologi baru seperti AI, digital, siber, semikonduktor, dan tenaga boleh diperbaharui.
  • British Airways dijangka menyambung semula penerbangan antara London dan Kuala Lumpur pada akhir tahun ini, dan UK menyokong Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025, serta merancang sambutan ulang tahun ke-70 hubungan dua hala pada 2027.


Keyakinan itu disuarakan oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Ailsa Terry dalam majlis meraikan sambutan ulang tahun ke-76 Raja Charles III yang berlangsung di ibu negara pada Khamis.

Jelas Terry, hubungan kukuh yang mengikat antara kedua-dua negara telah bertahan melangkaui masa dan politik.

"Perkara ini kekal sehingga hari ini, di tengah-tengah konteks global yang mencabar dengan konflik yang dahsyat di Asia Barat, Ukraine, dan tempat lain. Saya percaya ia tidak pernah menjadi lebih penting untuk berkumpul bagi memberi penghormatan kepada semua yang kita kongsi.

"Malam ini juga mengenai perkongsian moden antara UK dan Malaysia. Saya percaya ini berpotensi untuk pergi lebih jauh pada masa hadapan.

"Tanpa mengira keputusan Pilihan Raya Umum UK dalam masa dua minggu lagi, saya yakin Malaysia akan kekal sebagai rakan kongsi penting dan dihormati oleh UK," katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis berkenaan, di sini.

Hadir sama ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mewakili Kerajaan Malaysia, pegawai kanan kementerian dan agensi kerajaan, serta tokoh perniagaan.

Sebelum ini, Perdana Menteri Britain Rishi Sunak menetapkan tarikh pilihan raya umum pada 4 Julai depan.

Berucap lanjut, Terry berkata kedua-dua kerajaan akan terus bekerjasama dalam menangani cabaran dan meraih peluang daripada teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), digital dan siber, semikonduktor serta tenaga boleh diperbaharui.

Dalam masa sama, beliau menambah pada akhir tahun ini, British Airways dijangka menyambung semula penerbangan antara London dan Kuala Lumpur, sekali gus menjadikannya ia lebih mudah untuk kedua-dua rakyat melakukan perjalanan.

Selain itu, sebagai rakan dialog terbaru ASEAN, beliau berkata UK menyokong Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025.

"Pada 2027, ia akan menjadi ulang tahun ke-70 hubungan dua hala antara UK dan Malaysia, dan kita mula melihat ke hadapan bagaimana kita boleh menandakan kejayaan itu," ujarnya lagi.

Sementara itu, Terry memaklumkan komitmen Raja Charles III kembali menjalankan tugas selepas didiagnosis kanser pada Februari lalu menunjukkan ketabahan baginda.

Beliau juga berkata kesungguhan baginda terhadap tugas-tugas diraja menjadi sumber inspirasi.