Polis Metropolitan mengesahkan mereka sedang memberikan sokongan kepada keluarga Edward Pettifer, 31, yang terkorban dalam serangan di negeri Louisiana, Amerika Syarikat (AS) itu.
Pihak berkuasa mengesahkan bahawa 14 maut dan sekurang-kurangnya 35 lagi cedera apabila suspek, yang dikenal pasti sebagai Shamsud-Din J, didakwa merempuh orang ramai menggunakan trak pikap di kawasan Jalan Bourbon, French Quarter, lokasi sambutan Tahun Baharu yang popular di sana.
Difahamkan, baginda telah dimaklumkan mengenai kematian Pettifer melalui saluran rasmi dan berasa amat berdukacita, serta telah berhubung dengan keluarga mangsa untuk menyampaikan ucapan takziah secara peribadi.
Akhbar The Telegraph melaporkan Pettifer merupakan anak tiri kepada bekas pengasuh Putera William dan Putera Harry, Tiggy Legge-Bourke yang juga dikenali sebagai Alexandra Pettifer.
Pettifer adalah anak lelaki sulung Charles Pettifer, seorang bekas pegawai Coldstream Guards, dan Camilla Wyatt, anak perempuan seorang penternak kuda lumba, menurut akhbar itu.
Adik tirinya, Tom, yang merupakan anak lelaki pembaptisan kepada William, pernah bertugas sebagai pembawa cincin ketika perkahwinan Putera dan Puteri Wales pada 2011.
Putera Wales juga difahamkan telah dimaklumkan mengenai kematian Pettifer.
Suspek, seorang lelaki berusia 42 tahun dari Texas, didakwa keluar daripada kenderaan dan melepaskan tembakan sebelum ditembak oleh pihak polis.
Keluarga Pettifer berkata dalam satu kenyataan: "Seluruh keluarga berasa amat terkesan dengan berita tragis kematian Ed di New Orleans. Dia seorang anak, abang, cucu, anak saudara, dan sahabat yang sangat baik kepada ramai orang.
"Kami semua akan sangat merinduinya. Ingatan kami turut bersama keluarga lain yang kehilangan insan tersayang dalam serangan mengerikan ini.
"Kami memohon agar diberi ruang untuk berkabung atas kehilangan Ed secara peribadi. Terima kasih."
Koroner New Orleans menyatakan punca awal kematian Pettifer adalah kecederaan akibat hentakan kuat.
Polis Metropolitan memaklumkan pegawai perhubungan keluarga sedang membantu keluarga Pettifer dalam proses membawa pulang jenazah mendiang ke United Kingdom.
Pejabat Luar Negara Britain juga berkata pihaknya memberikan sokongan kepada keluarga mangsa dan sedang berhubung dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat.
Datuk Bandar New Orleans, LaToya Cantrel, dalam satu sidang media berkata mangsa dan keluarga mereka "bermakna" kepada seluruh bandar itu.
Koroner New Orleans memaklumkan seorang daripada mangsa yang terbunuh masih belum dikenal pasti, manakala selebihnya adalah warga AS dengan usia mangsa termuda 18 tahun dan tertua 63 tahun.
Pihak berkuasa percaya suspek bertindak secara bersendirian.
-- BERNAMA