Mana-mana pihak dianggap biadab apabila menyalurkan kemarahan atau tidak puas hati dengan tindakan memijak gambar pemimpin.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, pihak berkuasa juga perlu segera mengenal pasti individu terlibat terutama melibatkan peserta Bersih 4 yang lepas.

"Tindakan mereka biadab dan seolah-olah tidak bertamadun. Ia juga menunjukkan fikiran tidak matang dan seperti kebudak-budakan.

"Pihak berkuasa perlu segera mencari mereka yang terlibat. Jangan diberi muka kepada pelaku yang melakukan perbuatan itu," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.



Pemuda UMNO Kuala Terengganu membuat laporan polis terhadap tindakan peserta Bersih 4 memijak gambar pemimpin UMNO dan PAS - Sumber gambar Dr Najmil

Dr Najmil mengulas perbuatan beberapa individu yang melakukan aksi memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dirakamkan semasa perhimpunan Bersih 4 dan mula menjadi viral setelah disebarkan di media sosial.

Ujar Dr Najmil lagi, banyak lagi cara untuk menyalurkan rasa kemarahan atau tidak puas hati kepada individu lain.

"Mereka ini boleh belajar cara mengawal kemarahan dan mempraktikkan kaedah yang lebih berfaedah serta lebih matang dalam menyalurkan tekanan.

"Atau penganjur Bersih 4 perlu memberi garis panduan yang lebih jelas apabila mahu menganjur sebarang perhimpunan. Jika mereka merasakan itu tidak boleh dibuat, tidak guna mahu menjadi penganjur kepada perhimpunan yang menyusahkan orang ramai," ujarnya.

Pada Rabu, Pengerusi Briged Kesatria Muda Pergerakan Pemuda UMNO, Armand Azha Abu Hanifah berkata, tindakan peserta Bersih 4 yang memijak gambar Najib dan Abdul Hadi ketika perhimpunan itu berlangsung hujung minggu lepas mendatangkan kemarahan rakyat terutama penyokong kedua-dua parti itu.

Tegas Armand, pihak polis perlu menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur Bersih 4 kerana gagal mengawal sikap peserta yang hadir pada perhimpunan yang tidak mendapat permit daripada pihak berkuasa.