KUALA LUMPUR: Hari Rakan Kerjasama Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) PETRONAS 2024 mengumpulkan lebih 1,000 pemain utama industri dan pihak berkepentingan dalam usaha membangunkan ekosistem berdaya tahan serta mampan.

Isu peralihan tenaga, teknologi dan inovasi, strategi pembiayaan, peluang perkembangan, serta pembangunan modal insan menjadi topik teras acara tersebut yang bermatlamat mengukuh kerjasama dalam sektor OGSE untuk memacu industri minyak dan gas di Malaysia.

Sejajar dengan amanah menguruskan hasil petroleum negara, PETRONAS, yang kini menginjak tahun ke-50 penubuhannya, terus komited meneraju sektor OGSE dengan menggalakkan kerjasama antara industri merentas pelbagai aspek.

Hari Rakan Kerjasama OGSE PETRONAS ini dianjur bagi mengukuhkan ekosistem OGSE Malaysia untuk memenuhi keperluan vendor yang semakin berkembang.

Pelbagai sesi panel diadakan bagi membincangkan isu-isu penting dalam menangani cabaran yang dihadapi sektor OGSE.

Naib Presiden Perolehan Kumpulan PETRONAS, Rashidah Alias berkata, industri OGSE berdepan dengan pelbagai cabaran dalam mengimbangi keterjaminan tenaga dan kemampanan.

Ujarnya, mendepani landskap yang kompleks ini, adalah penting untuk  berevolusi dengan pantas dalam memenuhi permintaan yang berkembang bagi sekuriti tenaga, kelestarian dan ketahanan rantaian bekalan.

“Penting bagi setiap orang dalam industri untuk segera aktif terlibat dalam usaha berterusan ini untuk memacu perubahan positif.

“PETRONAS komited dalam mengamalkan pendekatan kolaboratif dan progresif demi memperkukuh ketahanan industri, memupuk pertumbuhan ekonomi sambil memastikan kemampanan ekosistem OGSE Malaysia.”

Naib Presiden Perolehan Kumpulan PETRONAS, Rashidah Alias menyeru setiap pihak dalam industri untuk aktif terlibat dalam usaha berterusan ini demi memacu perubahan positif.

Acara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Rabu, 4 September 2024 juga menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperbaharui Program Pembiayaan Vendor (VFP) bersama sembilan institusi kewangan.

Diperkenal pada 2018, VFP berjaya memudahcara akses kepada kewangan berjumlah RM1.9 bilion untuk lebih 300 pemohon bagi membantu vendor membina ketahanan dalam landskap tenaga yang berubah.

Turut sama dilancarkan Program Sokongan Pembekal (PSSP) yang bermatlamat menggalakkan vendor menerapkan prinsip kemampanan bagi menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR).

Program ini memberi tumpuan kepada pembinaan kapasiti melalui latihan, akses kepada platform digital untuk mengukur dan mendedahkan penghasilan karbon, serta memudahcara akses kepada pembiayaan peralihan dan hijau.

Acara ini juga menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperbaharui Program Pembiayaan Vendor (VFP) bersama sembilan institusi kewangan.

Dalam ucaptama beliau, Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia PETRONAS, Datuk Bacho Pilong menekankan keperluan pemain OGSE untuk menjadi tangkas dan berdaya tahan dalam mendepani landskap industri yang kian berubah demi pembangunan ekonomi negara yang berjaya.

“Permintaan tenaga dijangka memuncak menjelang 2030, dan pemain industri mesti kekal tangkas, menumpukan fokus kepada kecekapan, mentransformasikan cabaran menjadi peluang demi kemampanan dan pembangunan jangka panjang."

PETRONAS kekal komited untuk terus menyokong industri dalam mengemudi cabaran dengan menghasilkan dan menyampaikan penyelesaian tenaga dengan cara yang bertanggungjawab dan mampan,”  kata beliau.

Untuk tahun kedua penganjurannya, Hari Rakan Kerjasama OGSE kali ini dilihat lebih menyeluruh dengan penyertaan kesemua pihak berkepentingan dan perkongsian bermanfaat tentang perkembangan terkini dalam industri tenaga.

Dalam ucaptamanya, Datuk Ir. Bacho Pilong menekankan keperluan untuk pemain OGSE menjadi tangkas dan berdaya tahan dengan landskap industri yang sentiasa berubah untuk berjaya membina negara kita.

Bagi Amin Aznizan, Pengarah Urusan Kumpulan, SOCC Holdings Sdn Bhd, acara ini dapat menyatukan dan menghubungkan semua pemain industri OGSE.

“Hari Rakan Kerjasama OGSE hari ini sangat bermanfaat kepada industri secara seluruhnya kerana ia menjadi platform untuk semua orang bertemu dan memahami kedudukan PETRONAS di dalam pasaran dan sektor ketika ini.

“Dengan ini, kita dapat menyelaras penyampaian dan perkhidmatan sewajarnya untuk memenuhi keperluan industri,” beliau berkata.

Manakala bagi Kamarul Hafiz, Pengarah Urusan Limpahan Engineering Sdn Bhd, peluang menyertai Hari Rakan Kerjasama OGSE ini amat berharga dalam memperoleh maklumat tentang hala tuju industri.

“Peluang rangkaian juga sesi panel serta kawasan tumpuan menyediakan pandangan bermanfaat ke dalam cabaran dan peluang industri.

“Kami menghargai PETRONAS kerana menganjurkan acara ini, yang membantu kami untuk lebih memahami cara dan peluang untuk kami menyumbang kepada masa depan sektor OGSE,” beliau berkata.

Lebih 20 reruai pameran untuk berkongsi maklumat berharga mengenai topik peralihan tenaga, inovasi dan penerimaan teknologi, strategi pembiayaan, peluang pertumbuhan dan pembangunan modal insan.

Sejajar dengan perkembangan industri negara, PETRONAS turut menyokong inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) lain untuk memekarkan lagi ekosistem bakat teknikal.

Selain VFP, PETRONAS juga memudahcara Program Pembiayaan Khas OGSE (SOS) untuk vendor berskala kecil melalui kerjasama dengan Malaysian Industrial Development Finance (MIDF). Program ini menyaksikan pembiayaan berjumlah RM49 million telah diluluskan kepada lebih dari 30 pemohon sejak 2022.

Program Road to Bursa yang dilancarkan pada 2020 bersama Bursa Malaysia telah melatih lebih daripada 30 syarikat tempatan, yang menyaksikan tiga syarikat berjaya disenaraikan dalam pasaran Bursa Malaysia. Selain itu, Program Pembangunan Vendor PETRONAS telah juga memanfaatkan 171 syarikat tempatan sejak 1993.

Menurut Presiden Majlis Perkhidmatan Minyak, Gas & Tenaga Malaysia (MOGSC), Ts Syed Saggaf Syed Ahmad, Program Pembangunan Vendor (VDP) telah memberikan impak yang positif kepada ekonomi negara dengan menjana pekerjaan dan memupuk penggunaan teknologi dan inovasi di kalangan syarikat tempatan.

”VDP memainkan peranan yang penting dalam mempertingkatkan keupayaan tenaga kerja sektor minyak dan gas dan memacu pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), disamping memastikan syarikat tempatan disepadukan dalam rantaian nilai minyak dan gas global,” beliau berkata.

Hari Rakan Kerjasama OGSE PETRONAS juga akan dianjurkan di Terengganu, Sabah, dan Sarawak, melambangkan usaha PETRONAS dalam memupuk ekosistem yang berdaya tahan bagi menyumbang kepada kejayaan dan kemakmuran jangka panjang landskap OGSE Malaysia.