KUALA LUMPUR: Langkah penyusunan semula Petronas adalah untuk memastikan syarikat minyak nasional itu dapat terus menyumbang kepada pembangunan negara, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Tan Sri Muhammad Taufik.

Pada masa ini, Petronas mempunyai tenaga kerja seramai 52,000 orang dan 16,000 daripadanya adalah pemangkin utama.

Perubahan dan dinamik sektor minyak dan gas global menuntut Petronas membuat perubahan bagi mendepani cabaran masa depan, katanya sambil menambah ia merupakan proses yang telah lama tertangguh.

"Petronas adalah sebuah syarikat minyak nasional (NOC) tetapi sentiasa beroperasi sebagai sebuah syarikat minyak antarabangsa (IOC). Pesaing kami juga telah membuat keputusan sukar yang sama," katanya pada sesi taklimat kepada editor media di sini hari ini.

Beliau berkata di peringkat global, margin industri minyak dan gas telah berkurangan kepada 20 peratus daripada 40 hingga 45 peratus sebelum ini.

"Ini akan terus berkurangan kepada 16 hingga 18 peratus. IOC lain mendapat 12 hingga 13 peratus," katanya.

Tengku Muhammad Taufik berkata untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara, yang bermaksud melabur dan berkembang, misalnya dalam tenaga hijau, Petronas perlu mempunyai tenaga kerja yang bersesuaian untuk memenuhi permintaan pelanggannya.

Sejak penubuhannya, Petronas telah menyumbang RM1.5 trilion dalam bentuk dividen, cukai jualan negeri, bayaran tunai, duti eksport dan kumpulan wang amanah negara.

Tengku Muhammad Taufik menegaskan bahawa tanpa melaksanakan langkah sukar itu, ia akan menjejaskan kelangsungan Petronas.

-- BERNAMA