TANJUNG MALIM: Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) dengan kerjasama Tourism Malaysia bercadang untuk menganjurkan Pesta Pau X Rekreasi Muallim 2024 dalam skala yang lebih besar pada masa akan datang.

Yang Dipertua MDTM Mohd Ikram Ahmad berkata acara yang dianjurkan sejak 2017 itu bertujuan mempamerkan keistimewaan dan keunikan tersendiri kuih pau yang telah wujud di daerah itu sejak 1926.

Beliau berkata Tanjung Malim amat sinonim dengan pembuatan dan pengkomersialan kuih pau hingga diberi julukan 'Pekan Pau' yang menjadi tumpuan bukan sahaja penduduk tempatan tapi juga pelancong dari pelbagai lapisan masyarakat berkunjung ke daerah itu hanya untuk menikmati kuih pau.

"Identiti Tanjung Malim adalah disebabkan kuih pau yang telah lama wujud sejak 1926, maksudnya pada 2026 nanti cukup 100 tahun kuih pau wujud di daerah Muallim.

"Jadi, penganjuran Pesta Pau ini secara tidak langsung dapat mempromosikan daerah Muallim sebagai destinasi pelancongan gastronomi yang unik serta mempunyai keistimewaannya tersendiri," katanya ketika ditemui selepas perasmian pesta berkenaan yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin di Persisiran Sungai Bernam di sini, semalam.

 Pengusaha Pau Legend, Surdi Maris, 72, menunjukkan pau yang dijual di gerainya pada Program Pesta Pau X Rekreasi Muallim 2024 di Persisiran Sungai Bernam di sini. - Foto BERNAMA

Dalam pada itu, Salina berkata kelainan yang ditonjolkan pada penganjuran kali ini adalah konsep healing atau santai dengan pemilihan lokasi di Persisiran Sungai Bernam yang juga mempunyai sejarah berkaitan pembukaan bandar Tanjung Malim.

"Pengunjung yang hadir ke program ini boleh membeli dan menikmati makanan pau dan minuman kopi dengan suasana alam semula jadi yang menenangkan.

Program Pesta Pau X Rekreasi yang berlangsung selama dua hari bermula semalam dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik untuk para pengunjung antaranya, senamrobik, jualan dari pengusaha pau, kopi dan kraf tangan serta pameran pelancongan Perak.

Turut diadakan Pauboy Hunt (Explorace), Rally & Camp, Pertandingan Teka Berat Pau, pertandingan Mobile Legends dan eFootball, serta Pau Flash Sale, demonstrasi pembuatan pau, kuiz pelancongan dan pertandingan Spicy Pau Challenge.

Sementara itu, pengusaha Pau Legend Surdi Maris, 72, yang menjual kuih pau sejak 1986 di bandar Tanjung Malim berkata beliau masih menggunakan kaedah tradisional dengan menguli adunan kuih pau dengan tangan sahaja.

"Saya memang sudah biasa menguli adunan dengan tangan sahaja dan masih menggunakan tepung gandum dari dulu, tidak ada campuran mana-mana tepung serta inti kuih pau pun saya buat sendiri.

"Saya dapat menjual kuih pau lebih 100 ketul setiap hari dan kebiasaannya hujung minggu memang tidak menang tangan kerana ramai pengunjung datang dari luar Perak membeli kuih pau," katanya yang menjual pau dengan lima perisa iaitu kari ayam, kari daging, kacang hitam, kaya dan kelapa di Jalan Besar.


-- BERNAMA