KUANTAN: Seorang pesara swasta mengalami kerugian lebih RM163,000 selepas terperdaya sindiket pelaburan tidak wujud Julai lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata pada mulanya lelaki itu telah menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali, yang menerangkan kepadanya berkenaan satu skim pelaburan, dan lelaki berumur lewat 50-an itu terus berminat untuk menyertainya.

Beliau berkata setelah mendaftar, lelaki itu mendapati telah menerima RM5,000 di aplikasi yang diberikan oleh syarikat pelaburan selain diberitahu mendapat keuntungan pelaburan sebanyak RM 213.05.

"Wang keuntungan itu kemudiannya dipindahkan ke akaun lelaki berkenaan. Oleh kerana tertarik dengan pelaburan tersebut, lelaki itu telah membuat 15 kali pindahan wang dari akaun miliknya ke akaun yang diberikan.

"Pesara itu kemudiannya masih tidak dapat mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan setelah melabur lebih RM163,000 malah pihak pelabur turut memberi pelbagai alasan ketika ditanya mengenai wang pelaburannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata lelaki itu hadir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA