SIBU: Seorang wanita warga emas kerugian RM80,000 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pekerja sebuah syarikat kurier.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata mangsa yang berumur 60-an berkenaan membuat laporan polis semalam.

"Pada 14 Sept 2024, mangsa telah menerima panggilan daripada suspek yang mendakwa mangsa ada mengirim barang pada 11 Sept 2024 yang mengandungi kad bank yang tidak dibenarkan dan akan melaporkan perkara itu kepada pihak polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek mengarahkan mangsa untuk memberikan maklumat berkaitan jumlah wang simpanan yang kononnya bagi tujuan rujukan pihak Bank Negara.

"Merasa bimbang dan takut, mangsa telah menurut kesemua arahan yang diberikan suspek. Mangsa membuat dua transaksi pemindahan wang secara keseluruhan berjumlah RM80,000 ke dalam dua akaun tempatan yang berlainan," kata Zulkipli.

Susulan laporan polis yang dibuat mangsa, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Sibu telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak mudah panik atau merasa cemas apabila menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang mendakwa mereka dari mana-mana jabatan kerajaan atau institusi kewangan.

Orang ramai boleh menyemak akaun bank dan nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau merujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan laman Facebook cybercrimealertrmp@jsjkpdrm.

-- BERNAMA