LAHAD DATU: Seorang wanita sarat mengandung lapan bulan meninggal dunia bersama bayi dalam kandungan selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga Hospital Lahad Datu malam tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail dalam satu kenyataan berkata, wanita itu adalahseorang pesakit psikiatri yang sedang menerima rawatan di wad hospital berkenaan.

“Pada 30 Julai lalu wanita itu telah dihantar ke hospital oleh ahli keluarganya setelah dia bertindak agresif. Semasa menerima rawatan, wanita itu telah cuba terjun dari tingkat wad semalam, namun berjaya dihalang oleh jururawat bertugas dan diberikan ubat penenang dan tangannya diikat dengan tali.

"Setelah mangsa tenang dan tidak menunjukkan tanda agresif, ikatan tangannya dibuka.

"Namun kira-kira 7.20 malam tadi dia telah hilang dari wad. Setelah petugas membuat pemeriksaan dan pencarian, mereka mendapati dia telah terbaring di kawasan rumput di tingkat bawah bangunan.

“Dia dikejarkan ke unit kecemasan untuk rawatan dan menjalani pembedahan menyelamatkan bayi dalam kandungan namun bayi tersebut meninggal dunia. Wanita itu kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan disahkan meninggal dunia hari ini,” katanya.

Nyawa anda berharga, dapatkan bantuan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati tidak ada sebarang unsur jenayah dalam kes itu dan ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Pihaknya juga meminta orang ramai berhenti menularkan gambar kejadian itu dan tidak membuat sebarang spekulasi serta tanggapan negatif terhadap wanita itu.