LAHAD DATU: Moyang kepada 171 cicit, Hairan Briya yang berusia 102 tahun bukan sahaja menjadi individu tertua di daerah Lahad Datu lengkap menerima dua dos suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Lahad Datu tetapi menjadi contoh kepada 303 ahli keluarganya yang lain untuk menerima vaksin.

Hairan yang juga ibu kepada 10 orang anak dan nenek kepada 84 cucu itu dilihat bersemangat ketika menghadiri janji temu untuk suntikan vaksin dos kedua sambil diiringi mereka.

Menurut anaknya, Salim Etong, 77 tahun, usia sebenar ibunya mencecah 110 tahun namun berikutan situasi pendataan dokumen pada zaman dahulu, usia ibunya yang didaftar di MyKad adalah 102.

"Kalau ikut kad pengenalan dia berusia 102 tahun. Dulu tiada surat beranak dan dia daftar lewat. Mungkin usia sebenar adalah 110 tahun," katanya.

Salim berkata ibunya tidak berasa takut untuk menerima vaksin malah bersemangat menjadi penerima vaksin.


Tambah Salim lagi, ibunya mahu menjadi contoh kepada anak-anak, cucu-cucu dan ahli keluarga yang lain untuk tidak menolak vaksin dan tidak takut menerima vaksin.

"Dia tidak tolak vaksin dan dia kata kalau dia telah disuntik, anak cucu tidak perlu takut," katanya.

Hairan mahu menjadi contoh kepada anak-anak, cucu-cucu dan ahli keluarga yang lain untuk tidak menolak vaksin dan tidak takut menerima vaksin. - Astro AWANI

Sementara itu, Pengarah Hospital Lahad Datu, Dr Ridwan Hashim berkata kehadiran warga emas berusia 102 tahun ini sudah pasti menyuntik semangat kepada orang lain untuk menerima vaksin.

Katanya, semua individu terutamanya golongan warga emas perlu mencontohi Hairan dan mendapatkan vaksin COVID-19.

"Saya menggesa orang ramai untuk tampil ke hadapan dan menerima vaksin.

"Hairan ini menyuntik semangat kepada orang lain untuk mendapatkan vaksin COVID-19 di hospital kita.

"Jadi kami menyeru agar semua individu terutamanya golongan warga emas untuk datang menerima vaksin di PPV yang disediakan," katanya.

Menurut Ridwan, penerimaan vaksin dalam kalangan warga emas dan golongan berisiko amat baik.

Meskipun begitu, katanya pihak Hospital Lahad Datu tetap terus melaksanakan usaha-usaha untuk menarik lebih ramai orang untuk menerima vaksin.

Menurut Ridwan lagi, selain membuat promosi untuk pendaftaran vaksin, pakar dan doktor di Hospital Lahad Datu juga akan membantu pesakit untuk membuat pemeriksaan kesihatan untuk vaksin.