KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan sebahagian daripada peruntukan RM150 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, untuk melaksanakan perancangan mencantumkan dua rumah kuarters lama polis, menjadi satu rumah.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Seri Sahabudin Abd Manan berkata ini bagi membolehkan, anggota polis dan keluarga mereka mendiami rumah yang lebih luas, selesa dan lebih kondusif.

Beliau berkata PDRM menyasarkan kuarters lama PDRM yang mempunyai dua bilik setiap sebuah rumah, untuk diubah suai menjadi rumah empat bilik, yang akan dilaksanakan tahun ini secara berperingkat.

"Memang sebahagian daripada peruntukan adalah mencantum kuarters dua unit rumah dua bilik menjadi satu. Dua rumah digabung menjadi satu rumah yang dapat empat bilik. (Ia) dalam pelaksanaan.

"Perancangan kami nak ubah semua rumah yang ada dua bilik. Ia akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keupayaan kewangan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sahabudin berkata ketika ini, sebanyak 286 unit kuarters di seluruh negara dikenal pasti untuk dilakukan pengubahsuaian menggabungkan dua unit rumah menjadi satu rumah.

"Antaranya Kuarters Balai Polis Lenggong, Gerik di Perak, Kuarters Balai Polis Mambau, Negeri Sembilan, Kuarters Wakaf Mek Zainab, Kota Bahru Kelantan dan Kuarters Blok D, Briged Tenggara Kuantan, Pahang," katanya.

Pada 15 Julai lepas, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM150 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri, dalam usaha menjamin keselesaan anggota keselamatan negara.

Beliau dilaporkan berkata kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM45 juta, khusus untuk kerja-kerja pembaikan dan menaik taraf serta perolehan peralatan di 117 pos kawalan Pasukan Gerakan Am dan RM40 juta bagi infrastruktur serta fasiliti berkaitan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah.

-- BERNAMA