SHAH ALAM: Seorang perunding pengurusan acara sambilan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menghendap dengan menghantar gangguan berulang terhadap seorang jurugambar wanita melalui tiga komunikasi di akaun Twitternya, bulan lepas.
Mohamad Safiq Rosli, 37, yang merupakan individu pertama didakwa atas kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.
"Tidak mengaku, minta bicara," katanya dalam keadaan tenang.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melalui aplikasi Twitter atas nama akaun "@sopert99" telah secara berulang mengganggu Acacia Mardiana Daud, 31, dengan menghantar tiga komunikasi berbentuk luahan perasaannya di akaun Twitter milik mangsa "@ShaFoShizzle" yang telah dibaca di sebuah rumah di sini.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 1.40 pagi, 15 Julai dan 5.58 petang, 21 Julai lalu yang mendatangkan ketakutan kepada mangsa.
Tertuduh yang disabitkan dengan kesalahan Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan boleh dihukum di bawah Seksyen 507A(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh mengambil kira faktor tertuduh sebelum ini telah melanggar syarat jaminan polis bagi kes dihadapinya membabitkan mangsa yang sama di United Kingdom (UK).
"Tertuduh sepatutnya hadir ke mahkamah di negara itu untuk memberi penjelasan atas pelanggaran jaminannya pada 2 Jun lalu, namun dia bertindak melarikan diri ke Malaysia menyebabkan namanya telah disenarai hitam di UK.
"Saya juga diarahkan untuk menghantar tertuduh ke Unit Forensik Psikiatri di Hospital Ulu Kinta untuk pemerhatian. Sebelum ini, tertuduh telah dihantar oleh keluarganya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan dan pihak hospital juga telah memberikan laporan perubatan tertuduh hari ini," katanya.
Selain itu, katanya tertuduh juga telah ditempatkan di wad psikiatri di HKL sejak 17 Julai sehingga kini.
Peguam Fithril Hakim Ab Jalil yang mewakili Mohamad Safiq tidak membantah permohonan pendakwaan yang tidak menawarkan sebarang jaminan.
Sementara itu, peguam pemerhati Jason Wee yang hadir bagi pihak Acacia Mardiana memohon satu perintah perlindungan terhadap anak guamnya bagi mengelakkan gangguan berulang daripada tertuduh.
"Perintah ini harus diberikan kepada anak guam saya untuk mengelakkan gangguan seterusnya kerana melibatkan soal keselamatan. Tertuduh terbang ke UK untuk meneruskan perbuatan itu terhadap mangsa yang sama," katanya.
Sehubungan itu, peguam itu berharap agar tertuduh dapat ditahan agar tidak dapat menghampiri mangsa dan tidak berkomunikasi dengan apa-apa cara dengan mangsa sehingga kes itu selesai.
Sasha Diana membenarkan permohonan pendakwaan untuk merujuk tertuduh ke Hospital Ulu Kinta dan akan menetapkan jumlah jaminan selepas selesai pemerhatian di hospital tersebut.
Mahkamah juga membenarkan permohonan perintah perlindungan diberikan kepada mangsa dan menetapkan 7 Sept ini untuk sebutan semula kes.
Menerusi hantaran di Instagram baru-baru ini, seorang jurugambar Acacia Mardiana mendedahkan dirinya hidup dalam ketakutan selama lapan tahun gara-gara sering diganggu secara seksual seorang lelaki di media sosial.
Pendedahan itu juga menarik perhatian Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang menggesa Acacia Mardiana untuk menyerahkan bukti termasuk laporan polis dan tangkap layar ke e-mel rasmi kerajaan untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA
Bernama
Thu Aug 10 2023

Mohamad Safiq Rosli, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu. - Gambar/ Bernama

Dunia perlu sokongan pelan pembangunan semula Gaza tanpa pemindahan penduduk - Presiden Mesir
Badr Abdelatty berkata, Mesir sedang merangka satu konsep menyeluruh dan berperingkat bagi pembangunan semula Gaza.

Google bayar US$340 juta kepada Itali selesaikan kes cukai tertunggak
Google dan pihak berkuasa kewangan Itali capai persetujuan serta menyelesaikan audit cukai bagi tempoh 2015 hingga 2020 tanpa prosiding undang-undang.

Rusia sedia sambung perbincangan berkenaan Ukraine - Putin
Dalam masa sama, kata Putin, membina semula kepercayaan dengan Amerika Syarikat adalah penting bagi mencapai kemajuan bermakna.

WHO lapor penyakit baharu belum dikenal pasti di DR Congo
Dua kluster kes dan kematian berkaitan penyakit tidak dikenal pasti itu telah dikesan di dua zon kesihatan di Wilayah Equateur, DR Congo.

ACLE: Ini sebab Shandong Taishan tarik diri walau layak ke pusingan 16
Keputusan dibuat disebabkan ketidakselesaan fizikal yang serius membabitkan pemain-pemain dan selepas penilaian dibuat oleh pasukan perubatan.

Shandong Taishan tarik diri saingan ACL Elite, laluan JDT masih samar
Shandong Taishan FC memutuskan untuk tidak menyertai perlawanan Peringkat Liga Zon Timur menentang Ulsan HD FC dari Korea Selatan semalam.

Melaka perhebat program gotong-royong hapus Aedes
Usaha itu selaras dengan komitmen berterusan Jabatan Kesihatan Negeri dalam memusnahkan tempat pembiakan yang boleh merisikokan penduduk.

WHO lancar kempen vaksinasi polio besar-besaran di Gaza Sabtu ini
Kempen vaksinasi polio besar-besaran dirancang bermula di #Gaza Sabtu ini (22 Februari), dengan sasaran lebih 591,000 kanak-kanak berumur bawah 10 tahun.

Rusia buka kedutaan di tujuh negara Afrika menjelang 2026
Menjelang 2026, Rusia berhasrat untuk membuka kedutaan di Gambia, Liberia, Comoros, Niger, Sierra Leone, Togo dan Sudan Selatan.

Maldives akan usir ekspatriat gagal serah data biometrik
Operasi Kurangi, yang dilancar pada Mei 2024, bertujuan untuk menyediakan penyelesaian kekal kepada isu pendatang tanpa dokumen di Maldives.

Lelaki pertama didakwa atas tuduhan menghendap ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta
Majistret Sasha Diana Sabtu memerintahkan Mohamad Safiq Rosli, 38, ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Lelaki mengaku salah hendap, ganggu jurugambar wanita melalui Twitter
Mohamad Safiq Rosli, 37, yang merupakan individu pertama didakwa atas kesalahan itu mengikut Seksyen 507A(1) Kanun Keseksaan, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.

Perunding pengurusan acara didakwa menghendap, ganggu jurugambar wanita melalui Twitter
Seorang perunding pengurusan acara sambilan didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menghendap dengan menghantar gangguan berulang terhadap seorang jurugambar wanita melalui Twitter.

Suspek kes gangguan seksual ditahan di wad hospital
Suspek berusia 37 tahun yang merupakan lelaki warga tempatan itu kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.