Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah berkata persembahan Great British Circus yang dijadualkan dari 26 Okt hingga 17 Nov itu, agak berbeza berbanding tempat lain kerana tidak menampilkan ahli sarkas wanita yang mendedahkan aurat.
Beliau berkata pematuhan oleh kumpulan sarkas luar negara ini, membuktikan syarat-syarat hiburan yang dikenakan kerajaan negeri difahami dan dapat dipatuhi penganjur tempatan serta antarabangsa.
"Kelantan tidak pernah menolak program hiburan, asalkan tidak berlawanan dengan hukum syarak serta mengambil kira sensitiviti agama dan masyarakat. Islam adalah agama yang sesuai dengan fitrah manusia yang memerlukan hiburan dalam kehidupan seharian.
"Kerajaan negeri telah menggubal Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat Hiburan 1998 dan telah membuat Garis Panduan Kawalan Hiburan 2003 dan Pekeliling Negeri Bil 4/2003, bagi menyelia semua aktiviti hiburan di Kelantan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hilmi berkata kerajaan negeri juga sedang dalam proses membentangkan Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat Hiburan yang baharu, untuk disesuaikan dengan tuntutan kehidupan di era milenial.
Beliau berkata berikutan itu, semua pengurus acara yang berhasrat menganjurkan program hiburan dinasihatkan membuat konsultasi awal dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), agar tidak melanggar peraturan dan garis panduan yang ditetapkan dan dianjurkan dengan permit hiburan yang sah.
-- BERNAMA