PUTRAJAYA: Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pelbagai pihak sama ada dari kerajaan atau pembangkang, termasuk bersama Khairy Jamaluddin baru-baru ini adalah bagi mendapatkan pandangan berhubung hala tuju negara.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, media dan netizen seharusnya lebih fokus kepada isu teras berbanding cerita “clickbait” - dengan siapa Khairy akan jumpa selepas ini.

"Dari satu sudut, kalau kita jadi kerajaan sama ada Perdana Menteri atau saya sebagai Menteri Ekonomi, kalau saya hanya jumpa orang PKR sahaja, nanti media dan netizen kata tak nak ambil idea daripada orang-orang lain.

"Jadi Perdana Menteri pun panggil la semua datang jumpa dia untuk bagi pandangan. Dia panggil timbul isu pula. 'Ooo, ini jumpa KJ. KJ jumpa (Tan Sri) Muhyiddin.

"Jadi timbul cerita Muhyiddin pula... dan timbul pula soalan anda akan duduk (dengan Khairy)? Saya fikir mari fokus pada isu struktur teras," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) di sini pada Selasa.

[TERKINI] Sidang media Rafizi Ramli


Terdahulu, Rafizi ditanya adakah beliau akan melibatkan Khairy dalam sesi libat urus selepas bekas Menteri Kesihatan itu mengadakan pertemuan dengan Anwar dan kemudiannya bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu laporan The Star yang memetik sumber melaporkan Khairy akan kekal tanpa menyertai mana-mana parti buat masa ini tetapi didakwa akan membantu kempen Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menyifatkan Khairy sebagai kawannya, Rafizi berkata beliau mungkin akan meluangkan masa bersama bekas Ahli Parlimen Rembau itu untuk minum kopi.

"Saya rasa anda semua media dan netizen menghabiskan banyak masa untuk mencipta cerita.

"Saya rasa anda akan membuat lebih banyak kemajuan dalam menguruskan hari-hari daripada menghabiskan banyak “clickbait” dan ruang digital untuk cerita,  lepas ini KJ jumpa siapa?," ujar Rafizi lagi.

Jumaat lalu, Khairy dengan statusnya yang masih tidak mempunyai parti politik, hadir dalam perbincangan mengenai hala tuju ekonomi negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam, Khairy menyiarkan gambarnya bersama Muhyiddin di ruangan laman sosial, InstaStory, namun tidak disertakan sebarang keterangan.