KOTA BHARU: Op Kesan 2.0 Pelaksanaan Penyasaran Subsidi Diesel akan mula berkuat kuasa esok, sebagai persiapan pelaksanaannya, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.


Ringkasan AI
  • Kementerian akan memantau dan menguatkuasakan peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
  • Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melakukan manipulasi harga dan caj perkhidmatan selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
  • Ops Kesan 2.0 adalah kesinambungan daripada OPS KESAN 1.0, yang memantau kesan kenaikan cukai perkhidmatan pada 1 Mac.
  • Dalam pelaksanaan Ops Kesan 2.0, Bahagian Penguatkuasa akan mengumpulkan data harga dan caj perkhidmatan sebelum dan selepas penyasaran subsidi dilaksanakan.


Beliau berkata Op Kesan 2.0 bertujuan untuk memastikan tidak berlaku elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan, dengan mengguna pakai alasan pelarasan harga runcit diesel di stesen minyak.

"Kementerian saya akan membuat pemantauan dan penguatkuasaan sepenuhnya berpandukan kepada Peraturan-peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga dan caj perkhidmatan, akan dikenakan tindakan yang tegas terhadap sebarang aktiviti pencatutan pascapelaksanaan penyasaran subsidi diesel," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Op Kesan 2.0 Pelaksanaan Penyasaran Subsidi Diesel, di sini, hari ini.

Armizan berkata Op Kesan 2.0 adalah kesinambungan kepada Op Kesan 1.0, yang telah dilaksanakan bagi memantau kesan pelaksanaan kenaikan cukai perkhidmatan pada 1 Mac.

Beliau berkata dalam pelaksanaan Op Kesan 2.0, kementerian melalui Bahagian Penguat Kuasa akan menggerakkan lima pendekatan baharu iaitu melaksanakan proses pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan bermula pada 2 Mei, untuk dijadikan asas perbandingan sebelum dan selepas penyasaran subsidi dilaksanakan.

"Kementerian turut menubuhkan pasukan tugas khas melibatkan seramai 15 orang di peringkat ibu pejabat, bagi menyelaras dan menyelesaikan isu yang timbul daripada pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel.

"Selain itu, pengoperasian Pusat Arahan Penguatkuasaan dilanjutkan kepada dua jam lagi iaitu bermula 9 pagi hingga 10 malam setiap hari, agar siasatan segera dapat dilakukan ke atas aduan yang diterima berhubung pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi dan aduan kenaikan harga dan perkhidmatan," katanya.

Armizan berkata kementeriannya turut menetapkan prosedur operasi standard pengurusan aduan berkaitan dengan caj, harga dan bekalan termasuk tindakan susulan penguatkuasaan yang perlu dijalankan dalam tempoh 24 jam dari masa aduan diterima.

"Kami juga menyediakan saluran aduan khas melalui talian 012-6654292 untuk membolehkan orang ramai mengemukakan sebarang maklumat dan aduan berkaitan pelaksanaan SKDS dan aduan caj, harga dan bekalan," katanya.

Selain itu, orang awam boleh mengemukakan aduan menerusi aplikasi WhatsApp pada nombor 019-279 4317 / 019-848 8000; portal e-Aduan KPDN melalui pautan http://eaduan.kpdn.gov.my; pusat panggilan: 1-800-886-800 atau menggunakan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN," katanya.

Terdahulu, Armizan turut mengadakan sesi libat urus bersama lebih 150 pengusaha stesen minyak di seluruh Kelantan.

-- BERNAMA