Ini kerana mereka berhadapan dengan situasi yang sukar, mengancam nyawa serta menyaksikan penderitaan yang dialami oleh mangsa atau keluarga mangsa.
Ada yang berisiko mendapat "Post-traumatic stress disorder (PTSD)" atau gangguan stress pasca trauma.
Adalah penting untuk mengenal pasti gejala penyakit ini dan mengambil langkah pencegahan kerana ia boleh menjejaskan fungsi sosial, pekerjaan serta aktiviti harian.
Ia juga boleh menyebabkan penyakit mental yang lain seperti kemurungan.
PTSD boleh berlaku bukan sahaja kepada invidu yang mengalami trauma tetapi juga kepada individu yang menyaksikan orang lain berada dalam keadaan trauma.
Secara umumnya dari segi epidemiologi, kira-kira 50 sehingga 90 peratus individu pernah berhadapan dengan trauma sepanjang hidup mereka (Kessler et al,1995; Bresslau et al 1998), tetapi cuma 20 sehingga 30 peratus yang akan mendapat PTSD.
Mengikut Kessler (1995), wanita didapati mempunyai risiko yang lebih tinggi iaitu 10.4 peratus untuk mendapat PTSD berbanding lelaki (5 peratus) sepanjang usia mereka.
Mengikut "Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, 5th Edition (DSM-V)", terdapat empat gejala utama dalam PTSD iaitu imbasan semula (re-experiencing), gejala pengelakan (avoidance), perubahan negatif pada kognitif / emosi serta peningkatan kepekaan deria (hypersensitivity).
Contoh gejala yang dialami adalah seperti berikut
- Gejala Imbasan semula: Mengalami mimpi ngeri, ingatan atau imej yang datang berulang-ulang dan kadang-kala datang tiba-tiba tanpa sebab.
- Gejala Pengelakan (Avoidance): Individu cuba mengelakkan apa juga bentuk situasi, individu dan peristiwa yang boleh mengingatkan kepada peristiwa trauma.
- Perubahan negatif pada kognitif /emosi: Tidak dapat mengingati perkara yang berlaku ketika trauma, berfikiran negatif, menyalahkan diri sendiri serta berasa keseorangan.
- Gejala hypersensitiviti: Mudah terkejut, tahap kewaspadaan yang melampau, sukar memberi tumpuan serta sentiasa merasa gugup dan gementar.
Jika gejala tersebut berlangsung kurang daripada sebulan, seseorang itu mungkin mengalami gangguan stres akut atau dikenali sebagai "Acute stress disorder / reaction" tetapi jika melebihi sebulan, maka sesorang individu itu mungkin mengalami PTSD.
Apakah reaksi emosi atau tekanan yang dihadapi oleh penyelamat atau petugas bencana?
- Berasa sedih disebabkan oleh perasaan 'empathy' terhadap mangsa. Mengendalikan mereka yang di dalam krisis dan memenuhi keperluan mereka adalah satu tugas yang mencabar. Berasa putus asa atau tiada harapan jika tidak mampu membantu. Ini menimbulkan rasa kecewa dalam diri penyelamat atau petugas.
- Tekanan emosi. Adalah sukar untuk menyaksikan mangsa yang berada dalam kesakitan atau penderitaan.
- Kepenatan fizikal.
A) Ketika besedia untuk membantu
- Pelajari terlebih dahulu situasi krisis, peranan serta tanggungjawab setiap individu penyelamat. Perlu tahu apa skop tugasan yang diharapkan sebagai seorang penyelamat atau petugas bencana.
- Pertimbangkan kesihatan diri (fizikal dan mental), isu atau konflik yang melibatkan diri dan keluarga sebelum mengambil peranan sebagai penyelamat / sukarelawan bencana.
- Nilai persediaan diri. Pastikan anda bersedia untuk membantu dalam situasi krisis pada ketika ini.
- Perlu tahu serta kenal pasti bagaimana strategi anda dalam menghadapi stress (coping strategies) dan bagaimana anda mengendalikan tekanan sebelum ini.
- Peruntukan masa untuk diri sendiri untuk rehat dan bertenang.
- Cuba untuk pastikan waktu bertugas yang berpatutan untuk mengelakkan kepenatan yang melampau.
- Bahagi beban tugas di kalangan petugas dan ambil giliran untuk berehat.
- Ingatkan diri anda bahawa anda tidak bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyelesaikan semua masalah yang dihadapi oleh orang lain. Buat yang termampu untuk membantu.
- Hadkan pengambilan kafein, merokok serta ubatan yang tidak dipreskripsi oleh doktor.
- Beri sokongan antara satu sama lain dan sentiasa pantau keadaan emosi rakan-rakan lain.
- Luahkan perasaan anda - bercerita mengenai pengalaman ketika mengendalikan situasi bencana dengan penyelia, rakan atau orang yang dipercayai.
- Akui penglibatan serta kejayaan anda. Lihat apa yang telah dapat anda bantu, walaupun pada skala kecil.
- Belajar untuk menerima hakikat mengenai apa yang telah dapat anda lakukan dengan baik dan apa yang boleh diperbaiki berdasarkan kepada sumber yang ada ketika itu. Mungkin pada ketika itu, anda telah lakukan yang terbaik berdasarkan situasi serta sumber yang ada.
- Ambil masa untuk berehat sebelum memulakan tugas serta aktiviti harian seperti biasa.
Ia juga boleh menyebabkan perubahan dari segi emosi, tingkah laku dan biologikal.
Jika seseorang individu mengalami PTSD tidak dibantu, pelbagai kesan negatif yang akan terjadi kepada individu tersebut.
Ini mendedahkan pesakit bukan sahaja kepada masalah gemuruh (anxiety), malahan pesakit berisiko untuk mendapat kemurungan serta bunuh diri ekoran dari gejala PTSD yang berlanjutan (Sher et al,2010).
Rujukan:
1) American Psychiatric Association (2013). Diagnostic and statistical manual of mental disorders: DSM-V. Washington, DC: American Psychiatric Association.
2) Blumenfield M, Byrne DW (1997).Development of Posttraumatic Stress Disorder in Urban Emergency Medical Service Workers. Posted: 04/01/2002; Medscape Psychiatry & Mental Health eJournal. 1997;2(5)
3) Breslau N, Kessler RC, Chilcoat HD, Schultz LR, Davis GC, Andreski P (July 1998). "Trauma and posttraumatic stress disorder in the community: the 1996 Detroit Area Survey of Trauma". Arch Gen Psychiatry 55 (7): 626–32.
4) Kessler, R.C., Sonnega, A., Bromet, E., Hughes, M., & Nelson, C.B. (1995). Posttraumatic stress disorder in the National Comorbidity Survey. Archives of General Psychiatry, 52,1048-1060.
5) Sher, Leo (2010). "Neurobiology of suicidal behavior in post-traumatic stress disorder". Expert Reviews 10 (8): 1233-1235.
*Dr Firdaus Abdul Gani adalah Setiausaha, Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA)
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI