Ketua Hakim Syarie Perlis Jaidi Ahmad berkata Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Perlis, menerima kira-kira 100 kes melibatkan isu nafkah termasuk pengabaian nafkah anak setiap tahun di negeri itu.
"Pengabaian terhadap nafkah anak-anak ini berpunca daripada perebutan hak penjagaan anak, yang mewujudkan pergaduhan dan menyimpan perasaan permusuhan antara bekas suami isteri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah (Nafkah) BSK Seksyen Negeri Perlis di sini hari ini.
Jaidi berkata sepatutnya pasangan suami isteri yang telah pun berpisah perlu bertolak ansur demi anak-anak untuk memastikan tanggungjawab terhadap mereka tidak terabai, terutama melibatkan peruntukan nafkah.
"Hak penjagaan anak-anak (sekiranya ibu mendapat hak jagaan anak), jika bapa ingin melawat anak-anaknya, maka ibunya perlulah memberikan kelonggaran, tidak perlu bermusuhan," katanya.
Jaidi berkata antara punca lain ialah tekanan ekonomi yang menyebabkan sesetengah bapa ataupun penjaga, tidak dapat memenuhi nafkah terhadap anak-anak.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya Jaidi berkata seminar yang julung kali diadakan itu, menjadi platform untuk memberikan pendedahan dan pemahaman mengenai kepentingan golongan sasaran yang berhak menerima nafkah melalui perintah nafkah yang dikeluarkan mahkamah.
"Penganjuran seminar ini bertujuan memberikan pendedahan dan maklumat berkaitan fungsi serta tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah, dalam melaksanakan bentuk penguatkuasaan kepada penghutang penghakiman (bapa/bekas suami yang ingkar perintah) di Mahkamah Syariah," katanya.
Beliau berkata seminar itu juga dapat membantu pengamal undang-undang dan agensi terlibat serta masyarakat setempat, dalam memastikan hak yang telah diperintahkan mahkamah dapat dilaksanakan dengan jayanya berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
-- BERNAMA