KHAZANAH Nasional Berhad (Khazanah) hari ini mengumumkan penganjuran kali kedua Cabaran Impak Inovasi Khazanah (“KIIC”) 2023 bertemakan “Menangani Cabaran Iklim demi Keterjaminan Makanan di Malaysia”.

KIIC adalah cabaran perniagaan yang sejajar dengan objektif penciptaan nilai Dana Impak Khazanah, dengan matlamat untuk menangani permasalahan (problem statement) yang meluas dan memacu daya tahan ekonomi dan potensi pertumbuhan untuk negara.

Tema cabaran tahun ini mewakili kebimbangan yang semakin meningkat terhadap perubahan iklim dan potensi ancaman terhadap keterjaminan makanan. Perubahan iklim menimbulkan ancaman yang nyata terhadap sektor agrimakanan seluruh dunia. Kemarau yang berpanjangan, gelombang haba, hujan lebat dan banjir telah menjejaskan pengeluaran makanan merentasi benua, mengakibatkan penurunan hasil tanaman dan kemusnahan terhadap ternakan dan stok makanan. Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) mengunjurkan 5% - 32% penurunan hasil tanaman disebabkan perubahan iklim menjelang 2050, disulitkan lagi dengan anggaran peningkatan 60% permintaan global bagi makanan menjelang tahun yang sama disebabkan pertumbuhan penduduk, seperti yang digambarkan dalam model oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO).

KIIC 2023 kini membuka permohonan daripada perniagaan Malaysia yang berimpak tinggi berpenyelesaian yang inovatif dan berdaya maju secara komersial untuk menangani


cabaran perubahan iklim terhadap keterjaminan makanan di Malaysia. Permohonan dalam talian dibuka bermula hari ini sehingga 4 September 2023.

Dianjurkan oleh Khazanah di bawah inisiatif Dana Impak, komitmen RM6 bilion untuk tempoh 5 tahun, KIIC 2023 berhasrat untuk menarik syarikat pemula agrimakanan yang inovatif dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (“PMKS”) yang aktif dalam menangani permasalahan yang timbul daripada kesan perubahan iklim terhadap sektor agrimakanan. Selain itu, KIIC 2023 akan memberikan sokongan kepada peserta terpilih untuk meningkatkan kesediaan dan pengetahuan mereka dalam mendapatkan dan mengumpul dana untuk membawa perniagaan mereka ke tahap pertumbuhan seterusnya. Program itu juga bermatlamat mengukuhkan profil syarikat pemula agrimakanan dan PMKS yang berpangkalan di Malaysia, untuk mewujudkan nilai sosioekonomi untuk negara.

Pengarah Urusan Khazanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir berkata, “Dana Impak berasa sukacita kerana dapat mempertemukan para pemegang taruh daripada pelbagai sektor untuk meneroka peluang kerjasama dan memanfaatkan kepelbagaian bakat dan kepakaran di kalangan syarikat pemula Malaysia dan PMKS dalam sektor agrimakanan. Oleh kerana perubahan iklim kian mengancam keterjaminan makanan negara, usaha ini diharap dapat menawarkan sokongan yang diperlukan dan sebuah platform berjangkauan luas bagi menarik modal untuk menjana penyelesaian yang inovatif dan mampan, sejajar dengan strategi jangka panjang kami iaitu Memajukan Malaysia.”

KIIC 2023 dianjurkan bersama dengan rakan kongsi program kami, Plug and Play, rakan- rakan jangkauan Impact Circle dan MYStartup oleh Cradle Fund, dan rakan-rakan kongsi pendanaan Gobi Partners, 500 Global dan Agrobank. Cabaran ini bertujuan untuk mencari penyelesaian inovatif seperti sumber makanan haiwan alternatif, baja alternatif, teknologi perladangan, pembiayaan, dan penyelesaian rantaian bekalan untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti dalam industri agrimakanan.

Sepuluh (10) finalis KIIC akan menerima sehingga RM500,000 setiap satu dalam bentuk geran dan berpeluang mengemukakan cadangan (pitch) bagi menarik potensi pelaburan ekuiti daripada Khazanah dan rakan-rakan pendanaannya.

Pertandingan ini terbuka kepada semua entiti perniagaan yang berpangkalan di Malaysia. Setiap permohonan akan dinilai dengan teliti dan hanya pemohon yang berjaya akan dipilih untuk menyertai KIIC 2023. Pemohon yang disenarai pendek akan menerima jemputan untuk Hari Demo dan finalis akan diumumkan pada bulan Oktober 2023.

Untuk maklumat lanjut dan syarat kelayakan untuk menyertai KIIC, sila layari www.khazanah.com.my/kiic.