KUALA LUMPUR: Orang ramai masih boleh memohon dan memperbaharui pasport antarabangsa secara terus atau walk-in.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagi permohonan secara walk-in, kerajaan komited untuk menyiapkan dokumen itu dalam tempoh satu hari.

Katanya, sepanjang tempoh pandemik COVID-19 hingga hari ini, Jabatan Imigresen mengeluarkan 2.5 juta pasport dan daripada jumlah itu, 45 peratus permohonan dilakukan secara dalam talian.

"Mengisi borang ikut syarat, dengan gambar yang berkualiti, (ambil masa) tak sampai lima minit.

"Cuma, pasportnya itu akan mengambil masa beberapa hari untuk siap, berbanding secara walk-in, yang akan siap pada hari sama.

"Kita masih benarkan permohonan secara walk-in, dan kita juga komited, walk-in (boleh) siap dalam tempoh satu hari," katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) berhubung langkah penyelesaian proaktif dan progresif dalam mengatasi isu kesesakan serius bagi urusan pasport di
Jabatan Imigresen selain cadangan untuk mengembalikan semula proses permohonan secara walk-in.

Selain itu, tambah Saifuddin Nasution, bagi mengurangkan kesesakan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), pintu masuk automatik yang sebelum ini hanya khusus untuk rakyat Malaysia akan dibuka kepada pelancong dari negara-negara berisiko rendah seperti Singapura, Brunei dan Negara Kumpulan Tujuh (G7).

Negara G7 merangkumi Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jerman, Jepun, Kanada dan Itali.

Beliau memberitahu, maklumat lanjut mengenai perkara itu akan diumumkan pada lawatan beliau ke KLIA petang ini.