Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 29 November untuk mendengar permohonan habeas corpus (penahanan secara salah) Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Maria Chin Abdullah.

Ia bagi mencabar penahanannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan selepas kes disebut di dalam kamar hakim di sini, hari ini.

Hadir bagi pihak Maria Chin ialah tiga peguamnya Gurdial Singh Nijar, Datuk Ambiga Sreenivasan dan Eric Paulsen.

Maria Chin, 60, menamakan Ketua Unit Siasatan Jabatan Jenayah Terkelas di Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman Superintenden Tham Lai Kuan; Ketua Polis Negara; Menteri Dalam Negeri; dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Pihak responden memohon tujuh hari bagi memfailkan afidavit balasan berhubung permohonan Maria Chin.

BACA: Penahanan Maria Chin di bawah SOSMA tiada kaitan dengan politik - Khalid


Namun, menurut Guardial, Hakim tidak membenarkan tempoh tersebut memandangkan responden telah membuat kenyataan mengenai sebab penahanan itu dan tidak ada keperluan untuk tempoh tujuh hari lagi.

Oleh itu, katanya, Pesuruhjaya Kehakiman menetapkan hari Isnin (28 Nov) bagi mereka menjawab dan Selasa (29 Nov) untuk mendengar permohonan itu.

Tambah Gurdial, pihaknya juga akan berhujah berhubung kehadiran Maria Chin semasa kes ini didengar.

Maria Chin ditahan dalam serbuan di ibu pejabat Bersih di Petaling Jaya, Selangor pada 18 November, kurang 24 jam menjelang perhimpunan Bersih 5 yang berlangsung di ibu negara pada keesokan harinya.

Turut ditahan ialah anggota urusetia Bersih, Mandeep Singh.