KUALA TERENGGANU: Semua agensi termasuk anggota komuniti perlu peka terhadap risiko bencana empangan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan sentiasa berada pada tahap optimum terutama menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL) November ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pelaksanaan Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Meor Ismail Meor Akim berkata walaupun teknologi mengatakan bahawa empangan tidak akan pecah, namun persiapan menghadapi sebarang kemungkinan tetap perlu dilakukan.

"Di China dan Afrika misalnya, sudah ada kejadian empangan yang pecah, jadi kita kena bersedia dengan kemungkinan ini, walau bagaimanapun kita sangat berharap agar kejadian ini tidak berlaku.

"Jika berlaku (pecah) misalnya di Empangan Kenyir, air boleh naik sehingga 15 meter di kawasan sekitarnya dan kita perlu tahu apa tindakan yang patut dilakukan jika bencana besar seumpama ini berlaku," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada program Latih Amal (Tabletop) Pelan Tindakan Kecemasan Empangan Kenyir yang dianjurkan dengan kerjasama NADMA, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kerajaan negeri Terengganu di sebuah hotel di sini.

Sebanyak 26 jabatan dan agensi negeri serta persekutuan terlibat dalam latihan itu, selain turut melibatkan 14 agensi di peringkat empat daerah iaitu Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang.

Meor Ismail berkata tahap kesiapsiagaan sesebuah agensi yang berkaitan termasuk orang awam dalam menghadapi bencana adalah faktor penentu kejayaan sesuatu misi.

"Kita adakan latihan agar mereka bersedia, yang penting kita buat simulasi supaya penduduk di kawasan berdekatan faham dan bersedia. Antara yang perlu difahami misalnya bunyi siren di empangan sebab saya difahamkan bunyi siren ada macam-macam, ada amaran paras bahaya dan sebagainya, jadi penduduk kena faham jenis bunyi itu," katanya.

Katanya, sepanjang program latihan selama dua hari bermula Selasa itu, perbincangan (simulasi tabletop) dijalankan mengenai tindakan menghadapi bencana, manakala simulasi lebih besar (secara fizikal) melibatkan penduduk setempat akan dilakukan pada 26 Okt ini di Hulu Terengganu kerana ia paling hampir dengan Empangan Kenyir.

"Kita mendapat beberapa permintaan dari negeri-negeri lain untuk mengadakan program latihan dan simulasi empangan ini, tapi kita pilih Empangan Kenyir kerana mengambil pengajaran daripada kejadian banjir besar awal tahun ini.

"Pada ketika itu empangan tidak pecah, tapi apa yang berlaku ialah berlaku limpahan air akibat hujan lebat dan kita pilih Kenyir kerana terdapat empat daerah berdekatan yang akan terjejas jika berlaku kejadian empangan pecah iaitu Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang," katanya.

Meor Ismail berkata antara pengisian dalam latihan tersebut termasuklah taklimat teknikal oleh jurutera TNB mengenai operasi Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM) Kenyir, pembentangan impak bencana empangan serta pembentangan tindakan bencana empangan oleh peserta terlibat.

"Kita berikan kajian kes untuk peserta dan minta mereka bentangkan tindakan dalam tempoh beberapa minit sahaja. Bila berlaku bencana sebenar, tindakan pantas sangat penting, tidak boleh nak mesyuarat sejam pun untuk ambil tindakan.

"Agensi terlibat juga perlu faham isu-isu teknikal di empangan kerana saya dimaklumkan setiap empangan menggunakan teknologi berbeza dan di Kenyir misalnya, teknologinya agak lama dan cabaran banyak di Kenyir antaranya sebab ia merupakan kawasan pelancongan," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata NADMA sangat menghargai kerjasama semua pihak termasuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu dan TNB dalam menjayakan simulasi itu.

-- BERNAMA