KANGAR: Kerajaan Perlis telah memperuntukkan sebanyak RM248,000 bagi membantu 134 pelajar anak negeri itu yang menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) di dalam dan luar negera pada tahun ini.

Exco Hal-Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Belia dan Sukan, Pembangunan Sumber Manusia, Penerangan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Muhammad Azmir Azizan berkata kerajaan Perlis sentiasa memberi perhatian kepada sektor pendidikan yang dilihat sebagai mekanisme pencegahan perwarisan status kemiskinan.

"Antara bantuan awal yang disediakan bagi persiapan pelajar melanjutkan pelajaran ialah bantuan serta-merta secara sekali beri sebanyak RM1,200 hingga RM2,500 menerusi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Ridzuan Hashim (Pas-Guar Sanji) yang ingin tahu perancangan dan tawaran kebajikan kerajaan negeri kepada mahasiswa anak Perlis seperti bantuan pendidikan, kewangan, perubatan dan kecemasan.

Katanya, selain itu kerajaan negeri turut menyediakan bantuan Dermasiswa Tahunan kepada mahasiswa Perlis iaitu sebanyak RM6,000 bagi di negara Timur Tengah manakala RM11,000 di Jordan.

Muhammad Azmir (PAS-Santan) berkata bagi membantu golongan kurang berkemampuan dan mahasiswa terdesak, kerajaan negeri menyediakan Biasiswa Tinggi Pendidikan MAIPs di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang merangkumi tajaan yuran dan wang saku bulanan serta Tabung Kafaah MAIPs.

Beliau berkata kerajaan negeri juga menyediakan bantuan pendidikan secara sekali beri mengikut peringkat pendidikan iaitu RM2,000 kepada mahasiwa peringkat Ijazah, Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di luar negara.

Katanya mahasiswa dalam negara pula menerima RM1,200 bagi peringkat Ijazah, Sarjana dan PhD manakala pelajar peringkat Diploma (RM1,000) dan Pra-Diploma, Matrikulasi, Asasi serta lain-lain yang setaraf menerima RM700.

Menurut Muhammad Azmir, kerajaan negeri juga menawarkan pinjaman pelajaran daripada Lembaga Pemegang Amanah Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Perlis iaitu mahasiswa Ijazah Sarjana Muda bidang sastera boleh mendapat pinjaman sehingga RM6,500 setahun manakala mahasiswa Ijazah Sarjana Muda bidang sains boleh menerima pinjaman sehingga RM7,000 setahun bagi tempoh pengajian maksimum empat tahun.

Beliau berkata penuntut Sarjana dan PhD pula boleh menerima pinjaman RM10,000 setahun bagi tempoh pengajian maksimum selama dua tahun.

Muhammad Azmir berkata dari aspek kesihatan, mahasiswa yang memerlukan rawatan boleh mendapat secara percuma di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

"Mahasiswa boleh mendapatkan rawatan kecemasan di Jabatan Kecemasan dan Trauma yang beroperasi 24 jam dan surat rujukan tidak diperlukan bagi kes kecemasan. Mahasiswa juga layak mendapat rawatan percuma di mana-mana fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan dengan hanya menunjukkan surat pengesahan pelajar atau kad pelajar," katanya.

-- BERNAMA