KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap hubungan pengamal media di negara ini dan ASEAN dapat diperkukuhkan.

Menurut Ismail Sabri, satu rangkaian kerjasama membabitkan wartawan pada peringkat serantau dapat diperkasa demi memudahkan kesefahaman antara negara.

Beliau menjelaskan selain hubungan diplomatik yang sedia ada, wartawan boleh memainkan peranan bagi mencapai persefahaman antara negara serantau.

"Lawatan saya ke Indonesia baru-baru ini membantu mengeratkan hubungan dengan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia atau ISWAMI yang telah terjalin sejak 2007.

"Saya percaya ISWAMI dapat memainkan peranan penting sebagai jambatan penghubung sesama wartawan kedua-dua negara.

"Saya berharap hubungan media dan wartawan Malaysia bersama rakan-rakan wartawan di negara jiran melalui ASEAN atau selainnya dapat diperkukuh dengan menjadikan ISWAMI sebagai model," katanya ketika berucap di Malam Wartawan Malaysia pada Selasa.

Ismail Sabri juga menjelaskan media yang bebas dan terbuka, serta bertanggungjawab adalah mekanisme semak dan imbang yang menjadi teras konsep Keluarga Malaysia.

Beliau juga berharap jalinan persefahaman antara kerajaan dan media akan terus subur sehingga dapat menjalin kemesraan dengan dunia dan serantau.

"Saudara dan saudari menjadi mata dan telinga dalam membantu kerajaan memastikan kelangsungan dan kejayaan rancangan pembangunan untuk rakyat.

"Saudara dan saudari semua boleh membuat teguran yang bernas dan berasas bagi membantu kerajaan menyampaikan khidmat terbaik kepada rakyat selaras dengan konsep Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran," katanya lagi.

Perdana Menteri menjelaskan wartawan boleh terus memainkan peranan seperti yang telah dilakukan sekian lama, iaitu menyampaikan hasrat kerajaan kepada rakyat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada wartawan yang juga sebahagian daripada petugas barisan hadapan sewaktu pandemik COVID-19.

Ismail Sabri turut mengumumkan kerajaan bersetuju untuk mengekalkan tarikh 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Wartawan Nasional (HAWANA).