Keadaan jerebu di Semenanjung Malaysia menyaksikan persekitaran udara kekal pulih sebagaimana keadaanya pagi tadi.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, Jabatan Alam Sekitar memaklumkan terdapat tujuh kawasan yang udaranya dicatat sebagai ‘tidak sihat’.

Bagaimanapun tiada kawasan yang udaranya dilaporkan ‘sangat tidak sihat’ atau ‘bahaya’. Hari ini merupakan kali pertama sejak 22 Jun (Sabtu) di mana tiada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di atas 200.

Tiga kawasan di Selangor iaitu Banting, Kuala Selangor dan Port Klang mencatat IPU sebanyak 101. Petaling Jaya dan Shah Alam masing-masing mencatat IPU 97 dan 95.

Wilayah Persekutuan semakin pulih dengan Cheras, Batu Muda dan Putrajaya mencatat IPU kurang dari 100.

Bukit Rambai (Melaka), Nilai, Seremban dan Seri Manjung (Perak) merupakan empat kawasan yang mencatat IPU atas 100.

Sementara itu, sebuah kumpulan minyak sawit antarabangsa mahu tiga syarikat ahlinya di Malaysia dan dua di Indonesia yang dilaporkan terlibat dalam kebakaran hutan di Indonesia mengemukakan peta digital ladang mereka dalam tempoh 48 jam akan datang.

Peta-peta digital akan digunakan untuk mengesahkan lokasi kebakaran dan mengetahui sama ada puncanya adalah disebabkan oleh kecuaian.