SIBU: Projek Persimpangan Bertingkat Lapangan Terbang Sibu, yang juga sebahagian daripada Lebuhraya Pan-Borneo telah dibuka pada 6 petang tadi, bagi melancarkan trafik kepada mereka yang pulang ke rumah panjang untuk sambutan Gawai.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata walaupun telah melebihi tempoh kontrak, pembinaan projek persimpangan itu yang merupakan satu daripada bahagian penting projek lebuh raya berkenaan, akhirnya siap dengan sempurna.

"Kenderaan dari Bintulu ke Lapangan Terbang Sibu dan sebaliknya, kini boleh menggunakan jejambat (di persimpangan) dan ini melancarkan perjalanan kerana mereka tidak perlu menggunakan bulatan lagi. Ini adalah berita baik kepada mereka yang pulang ke rumah panjang untuk Gawai ini," katanya kepada pemberita selepas lawatan ke projek berkenaan hari ini.

Kerja-kerja pembinaan persimpangan bertingkat Lapangan Terbang Sibu yang bermula pada pertengahan 2017 tertangguh berikutan keadaan tanah lembut menyebabkan kontraktor terpaksa merawat kawasan luas berhampiran bulatan yang membawa kepada kuantum kerja tambahan.

"Daripada meneruskan kerja pembinaan berdasarkan lukisan asal, kontraktor perlu merawat tanah (kerja) terlebih dahulu dengan melakukan tambakkan untuk menstabilkan asas jalan melibatkan jarak 45.6km (dari) Persimpangan Lapangan Terbang Sibu ke bahagian Sungai Kua melibatkan RM950 juta," katanya.

-- BERNAMA