KUALA LUMPUR : Sejumlah 27 Ahli Parlimen UMNO kekal menyokong Perikatan Nasional, biarpun keputusan yang dicapai dalam Majlis Kerja Tertinggi pada 3 Ogos lepas adalah berlainan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini, pendirian itu akan dipegang kesemua Ahli Parlimen yang tersenarai, seperti yang telah dipersetujui.

Namun, beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, soal mengapa pendirian itu berlawanan dengan keputusan MKT yang diumumkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, akan diselesaikan secara dalaman.

“(Mengenai) Keputusan MKT.. saya tak mahu menambahkan keruh dalam parti, parti pun dah nampak semakin keruh. Kalau saya tambah kekeruhan tak baik.

“Saya tak nak UMNO dilihat sebagai sebagai parti bermasalah. Yang penting pendirian kita sebagai Ahli-Ahli Parlimen. Soal parti, biar kita (selesaikan) dalam sesi yang lain,” Ahli Parlimen Bera itu lagi.

Dalam sidang media khas di ibu negara hari ini, Ismail Sabri mengumumkan pendirian sejumlah 31 Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional, untuk terus menyokong Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut menyertai sidang media itu ialah ketua komponen parti Barisan Nasional (BN), Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan.

BACA: 31 Ahli Parlimen UMNO, BN terus sokong Kerajaan pimpinan Muhyiddin - Ismail Sabri

Pada Selasa lepas, Ahmad Zahid mengumumkan keputusan MKT untuk tidak lagi menyokong kerajaan selagi ia dipimpin oleh Muhyiddin.

Bagaimanapun, Muhyiddin dalam Perutusan Khasnya pada 4 Ogos memaklumkan soal peletakan jawatan beliau tidak berbangkit kerana masih mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

Selain itu Perdana Menteri berkata, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan agar soal keabsahan kerajaan ditentukan melalui usul percaya pada persidangan September ini.

Sementara itu, Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, keputusan Majlis Tertinggi BN tahun lepas jelas menyatakan sokongan itu hanya akan terhenti sewaktu Pilihan Raya Umum akan datang.

Beliau berkata, sehingga PRU tiba, MCA akan terus memainkan peranannya dalam kerajaan untuk memastikan soal pengurusan COVID-19, krisis ekonomi, serta kebajikan rakyat.

Sementara itu Saravanan, yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata, partinya berpendirian keadaan tidak akan menjadi lebih baik sekiranya kerajaan sedia ada dijatuhkan.