Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, negara kini menyaksikan kemunculan ‘political hate speech’, dan media sosial telah menjadi arena kepada revolusi yang mengetengahkan ‘politik toksik’, kebencian dan nista tersebut.
Justeru katanya lagi, sayap-sayap parti perlu menyedarkan orang Melayu tentang bahaya politik kebencian dan toksik yang melampau itu, yang hanya akan menjadikan mereka anti akal, anti kebenaran, dan anti segala-galanya.
“Kepada semua Wanita, Pemuda, dan Puteri. Jadilah anda sebagai mereka yang membawa kesejukan dan redup mata kepada bangsa dan negara. Bukan pencetus, segala tindakan anti akal dan cetusan emosi yang dangkal. Yang menjadi fitnah dan titik hitam, pada bangsa dan agama.
“Perjuangkanlah kepentingan bangsa dan agama dengan hikmah, dengan kata-kata dan tindakan yang mulia. Bak kata pepatah Inggeris, leading by inspiration,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada Rabu.
Dalam pada itu Mohamad berkata, UMNO mesti kembali menjadi ‘ketumbukan politik yang rasional’, dan sayap-sayap parti mesti menjadi armada, yang memerangi politik toksik ini dengan ilmu, hikmah dan kebaikan.
Beliau berkata, bagi tujuan memerangi politik toksik tersebut, UMNO mesti melaksanakan dengan strategi yang ampuh kerana situasi tersebut telah sampai ke tahap yang sangat serius dan merbahaya.
“Saya menyarankan kepada semua perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri, untuk membahas dan meneroka, jalan bagaimana kita harus menangani gejala politik toksik ini, dalam perbahasan kalian.
“Ketengahkan cadangan dan usul yang boleh kita lakukan bagi membanterasnya. Kita harus mempunyai strategi konkrit. Jika ada undang-undang yang harus dipinda, usulkan. Jika ada teknologi yang boleh diguna pakai, kita manfaatkan,” katanya lagi.