Beliau berkata program itu bakal diadakan pada sebelah malam di Dataran Merdeka bersempena Hari Wilayah Persekutuan dan Sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia.
"Saya berharap program ini akan memberi impak yang menyeluruh dan ketara kepada (masyarakat) kita dan kita akan melibatkan pelbagai agensi serta (penganut) pelbagai agama dalam perarakan ini," katanya selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini pada malam Rabu.
Aaron berkata perincian lanjut berhubung perarakan itu akan dimaklumkan kemudian, dan menambah program itu adalah inisiatif di bawah Ikhtiar Kedua yang akan menjadi asas hala tuju kementerian tersebut tahun ini, iaitu Inisiatif Harmoni MADANI.
Selain itu, antara ikhtiar utama Kementerian Perpaduan Negara adalah Ekosistem Perpaduan, Inisiatif Harmoni MADANI, Eksplorasi Rukun Negara dan Komuniti Sosio-Budaya.
Sementara itu, mengulas mengenai kebakaran tengah hari tadi yang memusnahkan Rumah Panjang Paulus Yan, Sungai Buan, Kanowit, Aaron yang juga Ahli Parlimen Kanowit berkata beliau akan turun padang esok bagi melawat dan membantu penghuni rumah panjang tersebut.
Beliau yang turut bersimpati atas insiden melibatkan sekurang-kurangnya 88 penghuni rumah panjang itu, berkata pihaknya akan menyalurkan bantuan sewajarnya melalui Yayasan Sukarelawan Siswa dan Pejabat Ahli Parlimen Kanowit kepada penduduk terjejas.
Terdahulu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Zon Sibu Andy Alie berkata kesemua penghuni rumah panjang 15 pintu di Jalan Nibong Tada itu berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan dan memaklumkan punca serta jumlah kerugian sedang disiasat.
Beliau berkata Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak menerima maklumat mengenai kebakaran itu pada 12.14 tengah hari.
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit dan pasukan bantuan BBP Sungai Merah yang digerakkan ke lokasi berjaya mengawal kebakaran pada 2 petang dan operasi tamat sepenuhnya pada 4.50 petang.
-- BERNAMA