SHAH ALAM: Pemerkasaan karya seni penulisan dalam kalangan pelajar sekolah perlu dipertingkat dari semasa ke semasa melalui perancangan dan strategi yang jelas agar hasil bakat golongan cilik dapat dipromosikan di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kejayaan lima penulis muda dari Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSeM) menghasilkan lima buku penulisan berbahasa Inggeris berserta seni visual yang menarik adalah bukti bahawa proses pembelajaran di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) berjaya mencungkil dan mencanai bakat pelajar-pelajar.

Katanya kejayaan penghasilan buku tersebut melalui program Young Emerging Talent dengan kerjasama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan SSeM juga adalah hasil sokongan ibu bapa, minat dan kerjasama erat semua pihak dalam menjamin kelestarian penghasilan bakat-bakat sedia ada ke arah pasaran dunia.

Berucap melancarkan lima buku tersebut sempena Selangor International Book Fair, di sini hari ini, Fadhlina berkata adalah tidak mustahil SSeM akan berfungsi sebagai pusat rujukan penghasilan karya seni dalam kalangan pelajar pada masa akan datang.

"Sesungguhnya, usaha ini perlu diperluas dan dikembangkan lagi agar pelajar-pelajar lain di negara ini dapat mencontohi kejayaan pelajar SSeM. Harapan kami di KPM agar inisiatif ini perlu diteruskan agar bakat sedia ada dalam kalangan pelajar dapat digilap, seterusna dipasarkan di pasaran tempatan dan antarangsa,"katanya.

Lima penulis tersebut adalah Ainur Safeeya Uzma Erfieza (13 tahun) menghasilkan buku Reminiscing The Old Days; Nur Balqis Faqihah Norlihakie, 16, (My Hero! The Time Traveller); Sarah Hanina Nadhrah Ahmad Patria, 16, (Valentine is a Tenacious Girl); Alisha Nabeeha Azhar, 16, (My Teacher) an Batreysa Nortajuddin, 16 (My Father's Culture).

Kesemua mereka sebelum ini berjaya mempamerkan hasil seni mereka di Pesta Buku Frankfurt, Jerman pada 19 hingga 23 Okt lepas selain berpeluang menimba pengalaman berkenaan padanan urus niaga, rundingan transaksi hak cipta dan pelesenan karya bagi mengasah bakat penulisan dengan lebih profesional.

-- BERNAMA