KUALA LUMPUR: Sebanyak RM290 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan Program Baucar Buku MADANI yang dijangka memanfaatkan lebih 3.5 juta pelajar sekolah rendah dan lepasan menengah di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata pihaknya menyasarkan penebusan dan transaksi pembelian penuh dilakukan sehingga akhir tahun ini.

Katanya, murid sekolah rendah (Tahun 4 dan ke atas) menerima baucar sebanyak RM50, manakala murid sekolah menengah dan pelajar lepasan menengah seperti Kolej Tingkatan Enam, Kolej Vokasional dan Kolej Matrikulasi serta pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) menerima baucar sebanyak RM100.

"Sehingga 21 Oktober 2024, seramai 1,915,110 orang murid dan pelajar lepasan menengah seluruh negara membuat penebusan Baucar Buku MADANI.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 661,487 ialah murid Tahap Dua sekolah rendah manakala seramai 1,191,817 merupakan murid sekolah menengah. Bagi Kolej Vokasional, Pra-Universiti, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru pula berjumlah 61,806 pelajar," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.

Beliau menjawab pertanyaan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) berhubung status terkini pemberian baucar buku dan jumlah peruntukan yang disediakan.

Katanya, jumlah nilai baucar buku MADANI yang sudah ditebus sehingga 21 Oktober 2024 adalah RM157 juta dan menghasilkan nilai pembelian keseluruhan RM120.5 juta membabitkan 3.9 juta naskhah buku.

"Untuk memastikan pelaksanaan pemberian Baucar Buku MADANI ini dapat diselesaikan pada akhir tahun ini, KPM sudah mengadakan sesi libat urus berkaitan penebusan baucar buku kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah serta Guru Perpustakaan dan media," katanya.

Tambah beliau, data penebusan setiap negeri, daerah dan sekolah sentiasa dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan penebusan berjalan lancar dan dioptimumkan.

"Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja menyokong perkembangan literasi dalam kalangan murid Malaysia.

"Dengan peruntukan yang besar ini, program Baucar Buku MADANI juga berupaya meningkatkan akses kepada sumber pendidikan yang berkualiti, minat membaca dan pembelajaran sepanjang hayat bagi murid pelbagai peringkat pendidikan di Malaysia," katanya lagi.