IPOH: Kerajaan Negeri Perak bercadang mewujudkan 12 lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baru selain menaik taraf tiga PPV sedia ada dalam usaha mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri itu.

Menteri Besarnya, Datuk Saarani Mohamad berkata setakat 24 Ogos, Perak mempunyai 22 PPV awam, enam PPV pandu, 14 kumpulan PPV Bergerak serta 15 PPV Hospital Swasta (PPVHS) dan 150 PPV Pengamal Perubatan (PPV GP).

Katanya lagi selain itu terdapat masing-masing lapan PPV Khas (sPPV) dan PPV Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) serta masing-masing satu PPV (organisasi bukan kerajaan) NGO, PPV Integrasi (awam dan swasta), PPV IPT (institusi pengajian tinggi).

"Kadar vaksinasi COVID-19 harian di kesemua PPV itu mencatatkan antara 40,000 hingga 45,000 sehari sementara semalam ia mencatatkan kadar pemberian vaksin tertinggi iaitu 39,998 suntikan.

"Kita menjangkakan dapat mencapai imuniti kelompok 80 peratus selewat-lewatnya pada Oktober tahun ini dan selesai keseluruhan vaksinasi pada November tertakluk kepada bekalan vaksin,” katanya ketika menjawab soalan lisan Yahaya Mat Nor (PH-Pasir Panjang) di sidang Dewan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Khamis.

Saarani menambah, pemberian vaksin juga turut memberi tumpuan ke pedalaman yang mana petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan dibantu jabatan-jabatan lain telah dilakukan secara jangkauan komuniti dengan sasarawan penduduk di Felda, Felcra serta penempatan Orang Asli.

Sementara itu Saarani memberitahu sehingga 24 Ogos, di daerah Kinta mencatatkan 40.29 peratus daripada populasi dewasa yang lengkap menerima dos vaksin, sementara Daerah Larut Matang dan Selama (35.07 peratus).

Manjung (50.81 peratus), Kerian (37.14 peratus), Kuala Kangsar (35.53 peratus), Hilir Perak (47.43 peratus), Batang Padang (47.89 peratus), Kampar (55.19 peratus), Perak Tengah (47.75 peratus), Hulu Perak, (52.45 peratus), Bagan Datuk (42.13 peratus), serta Muallim (57.16 peratus).

Dalam pada itu ketika menjawab soalan tambahan Yahaya, Saarani yang ADUN Kota Tampan menafikan dakwaan yang menyebut bahawa jumlah vaksin COVID-19 di Perak tidak mencukupi sehingga mengakibatkan kelewatan pemberian vaksin di beberapa kawasan.

"Dakwaan mengatakan vaksin tidak mencukupi di Perak adalah tidak benar kerana sebelum ini kita dijanjikan untuk menerima 688,000 bekalan vaksin daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), namun pada Julai kita menerima lebih daripada yang dijanjikan iaitu 820,00 bekalan vaksin.

"Justeru yang dikatakan bekalan vaksin di sini tidak cukup itu tidak benar. Bekalan vaksin di Perak cukup cuma jadual ketibaan itu perlu diselaraskan untuk membolehkan tiap-tiap PPV melunaskan tanggungjawab mereka," katanya.