PUTRAJAYA: Persidangan Inisiatif Penyelidikan Kesihatan Mulut Nasional ketiga (NOHRI) yang diadakan pada Jumaat merupakan platform penting untuk memperkasakan perkhidmatan kesihatan pergigian melalui penyelidikan dan pendekatan inovatif berdasarkan data.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, penemuan daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 menunjukkan bahawa hanya 25.7 peratus rakyat telah menerima rawatan pergigian tahun lepas.

"Statistik ini menekankan keperluan untuk mempergiat usaha meningkatkan status kesihatan pergigian di negara kita, dan penyelidikan berkualiti tinggi ialah komponen penting dalam usaha ini," menurut kementerian itu dalam kenyataan, di sini, pada Jumaat.

KKM menyatakan, dedikasi komuniti pergigian bagi menghasilkan penyelidikan yang berkualiti tinggi akan mendorong penambahbaikan berterusan dalam penyampaian penjagaan kesihatan mulut di Malaysia.

Persidangan NOHRI sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap Pelan Tindakan Kesihatan Mulut Global (GOHAP) 2023-2030 yang memfokuskan kepada enam objektif strategik antaranya tadbir urus kesihatan pergigian serta promosi dan pencegahan penyakit.

Objektif lain termasuk penjagaan kesihatan mulut, pembangunan tenaga kerja kesihatan, sistem pengurusan maklumat dan agenda penyelidikan.

Menurut KKM, sistem pengurusan maklumat kesihatan pergigian yang inovatif amat penting bagi meningkatkan pemantauan dan penerimaan maklum balas kesihatan pergigian yang berkenaan bagi membuat keputusan ke arah pembangunan dasar berasaskan bukti.

"Agenda penyelidikan kesihatan pergigian yang dibangunkan juga menekankan kepada konteks dan keperluan spesifik penyelidikan berkaitan kesihatan awam pergigian," menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan bagi menyokong keperluan meningkatkan status kesihatan pergigian, inisiatif "1 Individu: 1 Rekod Pergigian" telah diperkenalkan bagi memperkasakan individu dengan memberikan akses kepada rekod pergigian mereka melalui Aplikasi MySejahtera.

Menurut KKM, pendekatan digital itu bukan sahaja meningkatkan penjagaan pesakit, tetapi juga menyokong perkhidmatan forensik pergigian terutamanya dalam proses Pengecaman Mangsa Bencana (DVI).

NOHRI ditubuhkan pada 2010 untuk mempertingkatkan keputusan dasar berasaskan bukti dalam penyampaian penjagaan kesihatan pergigian kebangsaan.

Jawatankuasa itu terdiri daripada profesional pergigian merangkumi pelbagai agensi yang memainkan peranan penting dalam mengenal pasti keutamaan penyelidikan dalam bidang kesihatan mulut dan menyelia agenda penyelidikan kesihatan mulut yang lebih berkesan di Malaysia. - BERNAMA