Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan dana rakyat tidak digunakan dalam menyelesaikan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Najib, penyelesaian isu 1MDB boleh dibanggakan apabila isu itu diselesaikan menerusi persetujuan dan bukan memorandum persefahaman.

"Isu 1MDB yang saya janjikan pada rakyat tempoh enam bulan sudah pun nampak penyelesaian.

"Yang kita banggakan penyelesaiannya dalam bentuk bukan MoU (Memorandum Persefahaman) tetapi dalam persetujuan yang ditandatangani dan lebih mustahak ia tidak guna dana rakyat sama sekali. Ini perlu saya jelaskan," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Pada 23 November lalu, Edra Global Energy Bhd, anak syarikat 1MDB menjual semua asetnya kepada China General Nuclear Power Corp dan anak syarikatnya (CGN Group) untuk RM9.83 bilion.

1MDB, Edra dan anak syarikatnya memeterai perjanjian jual beli saham dengan CGN Group untuk jualan 100 peratus pemilikan dalam semua aset tenaganya, iaitu Edra Solar Sdn Bhd, Edra Energy Sdn Bhd, Powertek Energy Sdn Bhd, Jimah Teknik Sdn Bhd, Jimah O&M Sdn Bhd, Mastika Lagenda Sdn Bhd dan Tiara Tanah Sdn Bhd (syarikat operasi Edra).

Transaksi berkenaan dijangka selesai pada Februari tahun ini.

Pada 31 Disember lalu, 1MDB menandatangani perjanjian jual beli saham untuk menjual 60 peratus pegangan Bandar Malaysia Sdn Bhd pada RM7.41 bilion kepada konsortium IWH-CREC Sdn Bhd.

Konsortium itu adalah usaha sama 60:40 antara Iskandar Waterfront Holdings IWH dan China Railway Engineering Corp (M) Sdn Bhd.

Najib dalam perutusan tahun baharu 2016 berkata paras hutang 1MDB telah berkurangan sebanyak RM40.4 bilion berikutan pemeteraian beberapa perjanjian oleh syarikat itu setakat ini.

Laporan sebelum ini menyatakan paras hutang 1MDB sebanyak RM42 bilion, berdasarkan akaun kewangan yang diaudit setakat 31 Mac, 2014.