KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan notis bertulis memanggil 10 syarikat yang mengumumkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan pasca penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, notis tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 atau Akta 723.

“Syarikat yang dikenal pasti ini akan diminta memberi penjelasan berkaitan kewajaran tindakan mereka menaikkan harga barang dan perkhidmatan. 

“Sepuluh syarikat berkenaan terdiri daripada sektor pengangkutan (tiga syarikat), sektor bahan binaan (tiga syarikat), sektor makanan dan minuman (dua syarikat) serta sektor sewaan jentera (dua syarikat).

“Dua syarikat telah dipanggil semalam, 13 Jun 2024, dan selebihnya akan menyusul mengikut jadual,” tambahnya.

Menurut Armizan, siasatan awal mendapati empat syarikat terlibat telah diluluskan permohonan fleet card tetapi telah mengeluarkan notis bagi kenaikan barang dan perkhidmatan.

“Manakala baki enam syarikat lagi mempunyai kenderaan yang tidak termasuk dalam senarai Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0.

“Setiap syarikat akan diminta memberikan perincian maklumat termasuk dokumen-dokumen berkaitan penawaran perkhidmatan atau penjualan barangan bagi tujuan penyediaan analisis pencatutan.

“Kegagalan untuk menghadirkan diri juga boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 57 Akta 723 tersebut," tambahnya.

KPDN menurut Armizan melancarkan Ops Kesan 2.0 pada 8 Jun lalu bertujuan memantau semua penentuan atau peningkatan harga dan caj yang berlaku di peringkat sektor perkhidmatan yang diluluskan permohonan subsidi diesel di bawah SKDS 2.0.

Ia sama ada kenderaan yang layak atau yang tidak layak mematuhi perundangan Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018 dan tidak mencatut di bawah perundangan AKHAP 2011.

“Kementerian ingin memberi amaran kepada semua pihak agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang dan perkhidmatan dengan elemen pencatutan susulan penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan kerajaan,” tambah kenyataan itu.

Justeru, mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga akan dikenakan tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang.

Di bawah Akta 723, denda sehingga RM500,000 boleh dikenakan ke atas perbadanan/syarikat, manakala bagi individu, denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.