KUALA LUMPUR: Situasi penularan COVID19 yang dihadapi negara masih kekal pada situasi sangat serius, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Jelasnya, bahaya penularan COVID-19 dan kapasiti hospital terutama unit rawatan rapi (ICU) bagi menampung kes-kes COVID-19 adalah di tahap kritikal dan boleh terus meningkat.

Tegasnya, situasi itu tidak boleh diambil ringan, terutama sekiranya ada pihak yang menyebarkan interpretasi yang tidak benar mengenai situasi semasa.

"Hospital-hospital di seluruh negara sedang berhadapan dengan peningkatan kes COVID-19 bergejala serius (kategori 4 dan 5) yang memerlukan bantuan oksigen dan bantuan alat pernafasan khususnya di kalangan golongan rentan seperti warga emas dan pesakit yang menghidap lain-lain penyakit (co-morbidity).

BACA: COVID-19: 5,566 kes baharu, meningkat sedikit berbanding Isnin - Dr Noor Hisham

"Pesakit-pesakit ini memerlukan tempoh pemulihan yang lama untuk sembuh disebabkan komplikasi yang serius daripada jangkitan COVID-19.

"Statistik yang diterima oleh CPRC Kebangsaan menunjukkan purata tempoh rawatan bagi kategori 4 adalah di antara 14 hari ke 16 hari, manakala bagi pesakit kategori 5 pula, tempoh rawatan adalah selama 19 hari ke 26 hari," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Jelas Dr Noor Hisham, kadar penggunaan katil COVID-19 di ICU telah meningkat dari 96 peratus pada 24 Mei 2021 hingga 104 peratus pada 6 Jun 2021.

Kadar penggunaan katil ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan di mana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU.