Pengerusi Persatuan Car Boot Sale Dataran MBI Elham Mifzal Ellias, 30, berkata pertimbangan daripada pihak MBI amat diharapkan bagi memberi peluang kepada mereka untuk berbincang dengan Datuk Bandar Ipoh mengenai konflik yang berlaku.
“Kami diarah untuk mengosongkan lot parkir ini selewat-lewatnya sebelum 21 Dis ini. Perkara ini menimbulkan perasaan bercampur baur lebih-lebih lagi lokasi ini bukan hanya memberi pulangan pendapatan malah menjadi tumpuan orang ramai sejak kami beroperasi di sini.
“Kalau boleh memang kami nak kekal di sini dan kami harapkan dapat berbincang dengan Datuk Bandar secara berdepan bagi memastikan konflik yang timbul ini dapat diselesaikan dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya ketika ditemui di Dataran Bandaraya di sini hari ini.
Pada 6 Dis lepas, MBI dalam satu sesi libat urus memutuskan supaya penjaja kecil yang berniaga secara ‘car boot sale’ di dataran berkenaan dipindahkan ke MBI Terrace yang dilihat sebagai lokasi strategik serta tidak mengganggu aliran trafik.
Dalam sesi libat urus itu juga, sebahagian penjaja telah melalui proses undian tapak baharu selain menerima surat tawaran penyewaan yang perlu diberi kata putus selewat-lewatnya hari ini.
Sementara itu, Elham Mifzal berkata ke semua mereka keberatan untuk berpindah ke MBI Terrace kerana lokasinya agak terlindung daripada orang ramai serta boleh memuatkan kira-kira 40 penjaja sahaja.
“Tapak baharu itu dapat tampung 40 penjaja sahaja sedangkan kami ada 80 penjaja yang berniaga di dataran ini. Jadi, ia macam tak adil kerana separuh daripada kami tak dapat tapak untuk sama-sama berniaga,” katanya yang menjalankan perniagaan ‘Pasta Ceduk’ di dataran itu.
Seorang peniaga Siti Noor Aliah Zainuddin, 31, berkata arahan pengosongan lot parkir itu amat meresahkan dirinya lebih-lebih lagi pendapatan yang dijana melalui perniagaan berkenaan banyak membantu keluarganya.
“Setiap hari dari 8 malam hingga 12 tengah malam saya berniaga di sini. Sambutan orang ramai amat memberangsangkan. Secara purata, pendapatan kasar sekitar RM900 sehari berniaga di sini.
“Apabila MBI keluar arahan supaya berpindah, bukan sahaja rasa sedih malah saya yakin lebih separuh daripada pendapatan yang saya dapat ini akan hilang begitu sahaja jika berpindah (MBI Terrace),” katanya.
Ibu kepada empat cahaya mata yang menjalankan perniagaan ‘maggi viral’ itu berkata dia berharap MBI dapat meneliti semula arahan dikeluarkan selain berharap pertimbangan MBI untuk mengekalkan pengoperasian perniagaan penjaja kecil di dataran berkenaan.
“Bagi saya, cara ini bukan memberi ruang kami untuk terus menjana pendapatan malah apa yang kami usahakan ini juga boleh dipromosi secara meluas bagi menarik kehadiran pelancong ke Ipoh,” katanya.
-- BERNAMA