BAGAN SERAI: Pengusaha bas sekolah dan syarikat yang tidak menerima subsidi susulan penyasaran subsidi diesel masih boleh merayu dan sekiranya layak, permohonan mereka akan dipertimbang.


Ringkasan AI
  • Pengusaha bas sekolah dan syarikat yang tidak menerima subsidi diesel susulan masih boleh merayu. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan akan memastikan semua golongan sasaran yang layak akan menerima bantuan itu.
  • Anwar menekankan subsidi diesel diberikan kepada golongan yang memerlukan seperti pengusaha bas sekolah, bukan kepada syarikat besar atau syarikat pelancongan yang untung besar. Beliau juga mengingatkan bahawa lesen pengusaha bas sekolah yang menaikkan harga tambang mungkin akan ditarik.
  • Kerajaan turut mengambil maklum kebimbangan rakyat terhadap kenaikan harga barang keperluan susulan penyasaran subsidi diesel. Anwar menegaskan bahawa kerajaan akan terus memantau perkara ini untuk memastikan kesan positif subsidi diesel dirasai oleh golongan yang sepatutnya.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memastikan semua golongan sasar yang layak akan menerima bantuan itu.

"Kalau dia perlu dan memang untuk bas sekolah, kita bagi. Ya, boleh. Ada masa untuk merayu dan (kita akan) berikan tetapi kalau sengaja diambil peluang, kalau syarikat-syarikat besar, syarikat pelancongan yang untung besar, tak munasabah dapat subsidi.

"Subsidi ini (diberikan) kepada orang susah," katanya ketika berucap merasmikan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, sekali lagi memberi amaran kepada pengusaha bas sekolah yang menerima subsidi tetapi menaikkan harga tambang bahawa lesen mereka akan ditarik.

Beliau berkata kerajaan turut mengambil maklum kebimbangan rakyat mengenai kenaikan harga barangan keperluan dan perkhidmatan susulan penyasaran subsidi diesel.

"Ada yang tanya, harga barang naikkah? Saya kata kita pantau.

"Ada orang anak naik bas sekolah, dia kata nak naik ke harga? Saya kata kita pantau, kita mahu semua yang layak dapat subsidi ini," katanya.

-- BERNAMA