GEORGE TOWN: Pihak pengurusan tapak pelupusan sampah Pulau Burung di Nibong Tebal gagal mematuhi beberapa syarat dalam perjanjian konsesi yang dibuat pada 2012, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Chow berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada Rabu telah menerima laporan dari bahagian kerajaan tempatan dan melalui laporan itu, mendapati kelemahan dari segi pengoperasian tapak oleh pihak pengurusan tapak pelupusan sampah.

Menurutnya, exco telah arahkan kerajaan tempatan bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk melihat tindakan selanjutnya yang boleh diambil terhadap syarikat itu, memandangkan wujudnya ketidakpatuhan syarat-syarat yang ditetapkan dalam penawaran konsesi ini.

"Namun exco belum buat apa-apa keputusan, selain meminta bahagian kerajaan tempatan dan MBSP teliti lanjut dan bentangkan laporan terperinci tentang langkah-langkah dan tindakan yang akan dicadangkan terhadap pengurusan tapak ini," katanya kepada pemberita dalam sidang media yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang Datuk Ahmad Jailani Muhamed Yunus di sini pada Khamis.

Katanya, pihak pengurusan iaitu Syarikat PLB Terang Sdn Bhd telah dipilih dalam satu tender untuk urus tapak pelupusan sampah Pulau Burung pada 2012 untuk tempoh konsesi selama 23 tahun.

Tapak pelupusan sampah itu dilapor terbakar pada kira-kira 5 petang Rabu minggu lepas dan penduduk berhampiran telah diminta untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara manakala 10 sekolah yang berada berhampiran telah diarah tutup sehingga Jumaat.

Chow juga tidak menolak kemungkinan perjanjian konsesi dengan syarikat berkenaan akan ditamatkan sekiranya itu adalah langkah terbaik.

"Sekiranya perkhidmatan syarikat itu ditamatkan, pihak berkuasa tempatan perlu mempunyai cadangan atau persiapan untuk mengendalikan operasi pusat pelupusan sampah berkenaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Lee Chong Chern ketika dihubungi Bernama berkata operasi pemadaman membabitkan kaedah pengeboman air, tambak tanah dan pancuran terus air di tapak pelupusan sampah tersebut hari ini berjalan lancar.

Katanya pemantauan dan pemeriksaan pihaknya di kawasan melibatkan rumah penduduk di situ juga mendapati semua dalam keadaan terkawal dan selamat tanpa sebarang kejadian jenayah malah sehingga hari ini polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan kes curi atau jenayah.

"Semuanya berjalan lancar dan setakat ini operasi pembuangan sampah di tapak pelupusan tersebut masih dijalankan, ia membabitkan sektor tiga manakala kawasan yang terbakar ialah sektor satu," katanya.

-- BERNAMA