KUALA LUMPUR: Pengurangan lima peratus kadar duti hiburan untuk taman tema, pusat rekreasi keluarga, pusat permainan indoor dan simulator seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 baru-baru ini, akan menggalakkan pertumbuhan sektor berkenaan dengan teknologi inovatif dan termaju.

Pengerusi Kehormat Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga (MATFA) Tan Sri Richard Koh berkata pakej insentif itu mendorong pelaburan semula untuk menaik taraf tarikan baharu serta mengekalkan capaian mampu milik bagi masyarakat.

"Orang ramai selalu mahukan inovasi baharu dan cara riadah yang lebih baik terutamanya taman tema, untuk keluar daripada rutin harian tekanan kerja dan menghabiskan masa berkualiti. Pemaju swasta sebenarnya telah mengambil alih peranan kerajaan tempatan dalam menyediakan aktiviti rekreasi untuk keluarga.

"Seperti sebelum ini, kerajaan tempatan pernah meminta peruntukan besar daripada kerajaan Persekutuan untuk membina kompleks rekreasi seperti kolam renang untuk rakyat. Kerajaan negeri harus menumpukan kepada cukai yang patut dikenakan di saluran lain berbanding di sektor rekreasi dan hiburan keluarga," katanya kepada Bernama.

Selain itu, beliau berkata kerajaan perlu melihat taman tema sebagai penyelesaian untuk sosial, budaya, ekonomi dan peluang pekerjaan dan sebagai satu daripada pembangunan pelancongan terkemuka untuk pelancong tempatan dan antarabangsa.

"Kami dengan rendah hati memohon kerajaan Persekutuan untuk mengambil langkah lebih jauh dan menghapuskan cukai duti import sebanyak 30 peratus bagi mengimport taman tema serta mesin dan peralatan untuk tarikan pengguna.

"Hal ini akan lebih berkesan sebagai satu pakej penuh yang akan diperkenalkan untuk memperkasakan sektor berkenaan kerana tiada pengeluar peralatan tunggangan taman tema di Malaysia untuk melindungi aset itu," katanya.

Selain itu, Koh berkata industri taman tema perlu diiktiraf sebagai tanggungjawab sosial oleh kerajaan dengan menyediakan infrastruktur yang baik dan tidak dikaitkan dengan Akta Duti Hiburan 1953 yang sudah lapuk.

"Memandangkan kita juga diminta untuk memohon permit polis apabila membuat permohonan untuk taman tema dan lesen pengusaha riadah, kesimpulannya kita berada dalam kategori yang salah di bawah akta itu. Taman tema ialah 100 peratus berorientasikan keluarga dan seharusnya bebas cukai, bukannya cukai berganda bagi tiket masuk serta membayar cukai pendapatan," katanya.

Sementara itu, pekerja swasta Aina Mastura Abd Khadir, 30, berkata pengurangan kadar duti hiburan itu boleh menjadi pemangkin untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menyokong taman tema tempatan berikutan potensi penurunan harga tiket.

"Sebab utama kebanyakan rakyat Malaysia keberatan untuk mengunjungi taman tema ialah harga tiket agak mahal, ditambah dengan cabaran ekonomi semasa, lebih sukar buat mereka yang mempunyai keluarga besar.

"Dengan pengenalan pakej baharu ini, saya harap usaha ini dapat membantu pengusaha taman tema dari segi kewangan yang menyebabkan penurunan harga tiket masuk," katanya.

Turut senada, seorang kakitangan awam Syed Akasyah, 34, yang menyarankan kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menjadikan taman tema sebagai satu daripada lokasi tumpuan dalam menganjurkan program-program perpaduan bagi "menghidupkan" lagi kemeriahan di taman tema.

"Penganjuran program seperti 'Riadah MADANI' di taman tema dengan menawarkan harga kemasukan yang murah kepada rakyat juga dilihat antara kaedah terbaik untuk memberi galakan kepada mereka datang berkunjung.

"Usaha ini juga mampu menggalakkan masyarakat untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti riadah, sekali gus dapat meningkatkan nilai dan semangat perpaduan dalam negara," katanya.

-- BERNAMA