KUALA LUMPUR: Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga (MATFA) menggesa kerajaan melakukan pembaharuan segera terhadap Akta Cukai Hiburan 1953 yang mengenakan cukai 25 peratus ke atas aktiviti hiburan, yang dilihat menyekat pelaburan dan pertumbuhan dalam sektor itu.

Presidennya CK Ang dalam kenyataan pada Rabu berkata adalah penting untuk cukai itu dihapuskan demi meningkatkan industri pelancongan Malaysia, menarik pelaburan baharu dan meningkatkan daya saing negara.

Beliau berkata cukai itu meletakkan beban kewangan yang tidak perlu kepada perniagaan hiburan keluarga, yang merupakan pemacu utama pelancongan di Malaysia, dan MATFA percaya pembaharuan cukai hiburan adalah langkah besar untuk menarik pelaburan baharu dalam aktiviti mesra keluarga seperti taman tema dan taman air.

Ang berkata langkah memodenkan struktur cukai akan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing dalam industri pelancongan, merujuk kepada negara jiran seperti Thailand dan Singapura, apabila dasar cukai yang lebih disenangi telah membawa kepada jumlah pelawat yang lebih tinggi.

MATFA turut merujuk kepada seruan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar lebih banyak aset pelancongan dibangunkan di negara ini.

Pada 2019 sektor hiburan keluarga menjadi penyumbang penting kepada industri pelancongan negara dengan taman tema sahaja menarik lapan juta pengunjung, namun ia masih di belakang Singapura, apabila Pulau Sentosa di republik itu menarik 19 juta pengunjung pada tahun sama.

MATFA turut menekankan manfaat ekonomi yang lebih luas dibawa oleh industri hiburan keluarga kepada negara, terutamanya merangsang perbelanjaan dalam sektor berkaitan seperti hotel, restoran, kedai runcit dan pengangkutan.

"Bagi setiap RM1 yang dibelanjakan untuk tarikan, RM3.70 dibelanjakan untuk barangan dan perkhidmatan lain di Malaysia yang kemudiannya mewujudkan kesan pengganda yang besar," menurut kenyataan itu.

Ang berkata kerajaan perlu mengambil tindakan segera untuk memperbaharui Akta Cukai Hiburan 1953 untuk membuka potensi penuh sektor hiburan keluarga dan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam industri pelancongan.

-- BERNAMA