Jurulatih dari Jepun itu, yang mengambil alih skuad 'The Lions' sejak Februari lalu, menegaskan bahawa pemainnya masih dalam proses pemulihan selepas melalui perlawanan sengit selama 120 minit ketika tewas 2-4 kepada Thailand di laman sendiri, Selasa lalu.
"Kami sedang bersedia untuk menentang Malaysia. Mereka adalah pasukan yang kuat. Fokus utama kami sekarang adalah pemulihan. Ini sangat penting kerana kami telah bermain hampir 120 minit hanya dua hari lalu, dan pemain-pemain jelas keletihan.
"Bagaimana kami pulih akan menjadi faktor penentu. Kebimbangan utama saya adalah keadaan pemain, dan saya berharap mereka berada dalam prestasi terbaik untuk perlawanan esok," kata jurulatih berusia 61 tahun itu dalam sidang media praperlawanan di sini hari ini.
Sementara itu, kapten Singapura, Hariss Harun, mengakui skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti Vicente mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri selain mendapat tempoh rehat yang lebih lama berbanding pasukannya.
"Saya rasa ini adalah perlawanan yang sangat penting, bukan hanya untuk kami, tetapi juga untuk mereka. Ia akan menjadi perlawanan yang sukar, lebih-lebih lagi kerana ini adalah perlawanan keempat berturut-turut untuk kami. Sedangkan mereka mempunyai sedikit kelebihan kerana bermain di laman sendiri dan mendapat bye pada perlawanan sebelum ini.
"Mereka mungkin lebih segar berbanding kami. Namun begitu, saya percaya perlawanan ini amat besar dan penting buat kedua-dua pasukan. Kami semua tidak sabar untuk turun beraksi esok," kata pemain berusia 34 tahun itu yang kini bersama kelab Lion City Sailors serta bekas kapten juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT).
Singapura, yang pernah menjuarai kejohanan ini sebanyak empat kali (1998, 2004, 2007, dan 2012), kini berada di tempat kedua Kumpulan A dengan enam mata. Mereka hanya memerlukan keputusan seri untuk mara ke separuh akhir buat kali kedua sejak kejuaraan terakhir pada 2012.
Malaysia, juara edisi 2010, kini berada di tempat keempat dengan empat mata, berkongsi mata bersama Kemboja yang menduduki tempat ketiga. Skuad Vicente tiada pilihan selain perlu meraih kemenangan untuk layak ke peringkat kalah mati.
Juara bertahan, Thailand, yang sudah mengesahkan kemaraan mereka, menerajui kumpulan dengan sembilan mata dan akan berdepan Kemboja di Bangkok dalam perlawanan terakhir kumpulan esok.
Perlawanan esok mengimbas semula aksi terakhir kumpulan pada edisi 2022, di mana Malaysia, yang ketika itu memerlukan kemenangan, berjaya menewaskan Singapura 4-1 di venue yang sama.
Untuk rekod, Malaysia mencatatkan 31 kemenangan dan 21 keputusan seri dalam 75 pertemuan menentang Singapura dalam semua kejohanan sejak 1958.
-- BERNAMA