Kerajaan digesa bertindak tegas dalam penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar di tempat duduk belakang kereta.

Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah itu penting bagi mengurangkan risiko kematian pengguna jalan raya.

"Saya berpendapat kita perlu memastikan penumpang tempat duduk belakang memakai tali pinggang keledar. Ini adalah penting kerana melalui pemerhatian saya, saya lihat masih ramai tidak memakainya. Kerajaan perlu mengutamakan penggunaannya," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Hari Keselamatan Kanak-kanak- ASEAN NCAP di Autoliv Hirotako Safety Sdn Bhd di Balakong di sini hari ini.

Lam Thye berkata, kesedaran mengenai kepentingan memakai tali pinggang belakang perlu ditingkatkan di kalangan pengguna jalan raya.

"Jika kita bercakap mengenai tali pinggang keledar keselamatan, apa yang penting ialah sebenarnya kita mahu melihat penumpang tempat duduk belakang juga perlu peka kepada peraturan. Ia penting bagi memastikan bahawa mereka tahu mengenai peraturan keselamatan di jalan raya," katanya.

Beliau juga mengingatkan ibu bapa agar meletakkan bayi dan kanak-kanak di kerusi kereta khas bagi memastikan keselamatan mereka.

"Semua pihak perlu amalkan peraturan individu demi keselamatan masing-masing. Itulah sebab kenapa kita perlu melakukannya bermula dari kanak-kanak. Apabila anak-anak memasuki kereta, mereka secara automatik memakai tali pinggang keledar, manakala bayi diletakkan di dalam kerusi kereta khas.

"Penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak memadai tetapi kita perlu ada kesedaran. Jangan tunggu kena saman (oleh penguatkuasa) baharu nak pakai tali pinggang keledar," kata beliau lagi.

Peraturan penggunaan tali pinggang keledar tempat duduk belakang dikuatkuasakan sejak 1 Januari 2009 melalui Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) (Pindaan 2008) mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum ini, kerajaan memberi tempoh selama tiga tahun (1 Januari hingga 31 Disember 2011) kepada kenderaan yang didaftarkan pada dan selepas 1 Januari 1995 untuk memasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang.