Nilai itu mengalir lalu mudah dihadam oleh manusia sejagat.
Mengenali Rumi, seumpama mengenal cinta sejati yang jalan serta cabangnya pelbagai, namun pada penghujungnya menyatu di atas jalur tujuan yang sama -- membangunkan jiwa manusia agar mengingati Sang Pencipta pada setiap masa.
Rumi tidak pernah mendiskriminasi agama, bahasa dan budaya, serta nilai-nilai yang diterapkan beliau dalam karya agungnya perlu difahami secara holistik.
“Karya-karya Maulana Rumi mampu menjadi cerminan hidup manusia kerana ramai menginterpretasinya sebagai petunjuk, terutamanya ketika berdepan masalah. Ramai beranggapan apabila berdepan ujian dalam kehidupan, karya-karya Rumi dapat dijadikan pedoman.
Itu pendapat penyelidik dan pensyarah sejarah dari Universiti Selçuk, Konya, Profesor Nuri Simsekler, yang mempunyai lebih empat dekad pengalaman mendalami hasil karya Rumi.
Pendek kata, di mana ada manusia, di situ ada Rumi.
Atau, seseorang individu yang mampu mengangkat dan membaca karya Rumi, pemahamannya tentang nilai-nilai kemanusiaan itu tinggi dan tidak biased (berpihak), kata Simsekler membuka bicara, ketika ditemui Astro AWANI di sebuah restoran terkemuka di Konya, Turkiye, baru-baru ini.
Evolusi ajaran Rumi
Sepanjang lakaran sejarah, Khilafah Uthmaniah gemilang bersama kekuatan Islam dan hikmah peradaban.
Menyorot kembali kemegahan Khilafah Turki Uthmaniah, Sultannya tidak berpisah daripada didikan guru rohani. Sebelum tertubuh khilafah, kekuatannya bermula daripada pemerintahan Bani Seljuk yang berpusat di Anatolia.
Di sinilah inspirasi rohani Turki Uthmaniah bermula iaitu seawal era Sultan Alauddin Kaykobad. Beliau hidup sezaman dengan guru sufi Syeikh Bahauddin Valad dan anaknya, Rumi.
Sultan ini menguatkan tradisi mendampingi ulama serta menjadikan mereka paksi rujukan. Dari kerajaan Bani Seljuk sehinggalah khilafah Turki Uthmaniah, ia tidak terpisah daripada Rumi.
Bahkan persalinan sultan-sultan Uthmaniah diinspirasikan daripada serban Rumi.
Syeikh yang mengajar di Yenikapı Mevlevihane (zawiyah Mawlana Rumi) biasanya mengajar sultan-sultan Uthmaniah di Istana Topkapi, Istanbul.
Menurut ulama Istanbul, terdapat tiga kitab rujukan utama yang paling penting -- pertama, Sahih Bukhari oleh Imam Bukhari dan kedua, al-Syifa bi Ta’rif Huquqil Mushtafa oleh Qadhi Iyadh.
Ketiga, ialah Mathnawi -- sebuah kompilasi enam jilid hasil mahakarya Rumi. Padat dengan ajaran-ajaran sosial, kemanusiaan dan agama, Mathnawi turut memuatkan ayat-ayat suci al-Quran yang bersifat universal dan tidak lapuk ditelan zaman.
“Mevlana (Rumi) pernah dipetik sebagai berkata, manusia-manusia pernah disatukan sebagai jiwa dan nurani yang luhur di sisi Allah sebelum dihantar ke dunia.
"Rumi dalam penulisannya menegaskan, Allah mencipta manusia dari satu nafs (roh).
“Dalam erti kata lain, kesemua umat sejagat, tanpa mengira bangsa, agama atau budaya serta warna kulit, dicipta dari nafs daripada Allah (seperti yang disebut dalam al-Quran).
"Dengan petikan ayat al-Quran “Nafâhtu fîhî min rûhî,” Allah memberi kita berita baik. Tanpa mengira siapa, dari mana dan apa jua kepercayaan individu berkenaan," kata Simsekler.
Dalam konteks jiwa dan nurani manusia, tiada perbezaan nyata antara lelaki dan wanita. Ini kerana, Sang Pencipta menjadikan mereka berasaskan sifat semulajadi manusia. Hanya selepas itu, seseorang individu itu akan ‘dibezakan’ menerusi bahasa, agama, budaya dan warganegara dan ini merupakan transisi dari makrokosmo dan mikrokosmo, jelas Simsekler.
Katanya, ajaran Rumi mempunyai nilai murni kehidupan yang positif.
“Manusia sejagat membawa bersama mereka hadiah istimewa atau permata – daripada Allah. Ketahui nilai anda kerana di dalam diri kita adalah secebis permata daripada Allah,” menurut Simsekler.
Namun, tambahnya, manusia juga mempunyai entiti yang dikenali sebagai ego (nefis).
“Ego ini bersifat antagonis – saya pasti anda pernah menonton dalam filem-filem yang menampilkan watak baik dan watak jahat,” kata Simsekler.
“Memang ego bersifat begitu, dan sebab itu, Maulana Rumi mengajar kita untuk menguasai ego kita sendiri, seperti menjinakkan kuda dan mengemudi sebuah kenderaan, dan pasti keharmonian akan dikecapi,” tambahnya.
Sehingga saat ini, karya Rumi terus dibaca dan ditelaah di seluruh pelosok dunia.
Di Malaysia, komposer dan penyanyi Datuk M. Nasir turut mengabadikan filosofi Rumi dalam lagu ciptaan beliau, Bila Rumi Menari yang dimuatkan dalam album Phoenix Bangkit pada tahun 2001.
Di Amerika Syarikat, puisi-puisi Rumi dianggap sebagai bestseller. Benua Eropah pula turut memberi perhatian kepada mahakarya Rumi melalui penyelidikan orientalis seperti Annemarie Schimmel dan AJ Arberry.
Vokalis Coldplay, Chris Martin sewaktu perceraian dengan aktres Gwyneth Paltrow mengakui bait-bait puisi Rumi menjadi pedoman tatkala beliau dilanda kekecewaan.
Ikon pop Madonna pula mengakui karya-karya Rumi menjadi inspirasi beliau dalam mencorak kecenderungan keagamaannya suatu ketika dahulu.
Kematian Rumi pada 17 Disember 1273 pada usia 66 tahun, diraikan dalam acara tahunan Seb-i-Arus di Konya dan seluruh Turkiye.
“Menurut Rumi, kematian beliau adalah kelahiran semula kerana dapat kembali bertemu dengan Penciptanya. Beliau pernah dipetik sebagai berkata, kematiannya adalah ‘malam perkahwinan’ – di mana pasangan kekasih ditemukan semula dan bersatu,” kata Simsekler.
"Atas permintaan Rumi, pengebumian beliau turut menampilkan latar belakang permainan neys, kudums dan persembahan Sema (whirling dervishes)," tambahnya.
Suatu yang menarik, acara ini sudah berlangsung selama 751 tahun.
"Janganlah tinggal mendiam. Mengembaralah dari dirimu kepada dirimu." - Rumi
Nota: Lawatan penulis ke Turkiye pada Disember, 2024 adalah sebahagian daripada kerjasama Astro AWANI dan Turkish Airlines.
Jangan ketinggalan menelusuri kisah hidup Rumi dalam dokumentari, 'Rumi' di Saluran 501 (Astro AWANI) dan Live TV (astroawani.com) tidak lama lagi.