KUALA LUMPUR: Pengerusi Pasukan Pekerja Malaysia-Singapura (Pemas) dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik membabitkan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di laman Facebook miliknya, tiga tahun lepas.

Hakim Nor Hasniah Ab Razak membebaskan S. Dayalan, 44, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap lelaki itu di akhir kes pendakwaan.

"Mahkamah telah membuat penilaian maksimum terhadap kesemua keterangan dan ekshibit dikemukakan pihak pendakwaan serta hujahan bertulis timbalan pendakwa raya dan peguam.

"Dengan ini, mahkamah memutuskan bahawa pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 233(1)(a) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," kata Nor Hasniah.

Beliau kemudian memerintahkan OKS dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri serta wang jaminan RM3,000 dipulangkan.

Pada 12 Okt 2021, Dayalan mengaku tidak bersalah atas dakwaan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik berkenaan menggunakan laman profil Facebook 'Dayalan Sreebalan' dengan niat untuk menyakiti hati orang lain pada 10.03 malam, 30 Mei 2021.

Hantaran itu kemudian dibaca di Jabatan Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini pada 7.15 petang, 2 Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika didapati bersalah.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah manakala Dayalan diwakili peguam M. Dinesh.

-- BERNAMA